Blog

Ucapan Ketua Parlimen DAP dalam perbahasan Belanjawan 2015

Oleh: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang di Parlimen pada hari isnin 27 Oktober 2014.

Adakah kita telah menipu dunia untuk mendapatkan undian yang begitu tinggi sebanyak 187 undi dan dilantik sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dengan penuh kepalsuan, kononnya Malaysia adalah contoh terbaik kesederhanaan sedangkan kesederhanaan sedang menerima serangan teruk.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada negara di atas pelantikan untuk kali ketiga, dengan bilangan undi tertinggi sebanyak 187 undi, untuk menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Namun malangnya, Malaysia tidak menepati standard kesederhanaan antarabangsa yang begitu tinggi, yang telah ditetapkan oleh Najib sendiri, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berulang kali menyatakan bahawa pelantikan Malaysia ke dalam Majlis Keselamatan PBB buat kali ketiga dengan bilangan undi yang begitu tinggi adalah bukti bahawa dunia mengiktiraf Malaysia sebagai contoh buat negara-negara lain dalam mengamalkan kesederhanaan.

Adakah kita telah menipu dunia untuk mendapatkan undian yang begitu tinggi, dan dilantik sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan dengan penuh kepalsuan, kononnya Malaysia adalah contoh terbaik kesederahanaan menentang ekstremisme, sedangkan sebenarnya, Malaysia sebagai sebuah model negara yang aman, stabil dan harmoni dan berbilang kaum dan agama, sedang mengalami serangan terburuk sejak 57 tahun merdeka dan akibatnya membelakangkan kesederhanaan.

Kekerapan dan bahaya ucapan-ucapan penuh kebencian terhadap kaum dan agama, menggalakkan ekstremisme dan hilangnya toleransi agama di negara sepanjang empat tahun lalu telah mengalahkan bilangan ucapan sedemikian dalam jangka masa empat dekad yang lampau.

Bukti terhadap hilangnya kesederhanaan dan bertambahnya ucapan penuh benci, ekstremisme dan hilangnya toleransi yang mengancam kesederhanaan semakin bertambah – malah, dalam jangkamasa sepuluh hari sejak Malaysia dilantik menganggotai Majlis Keselamatan sebagai anggota tidak tetap, sudah lebih sedozen contoh di mana kesederhanaan sedang diserang.

Contoh pertama yang paling ketara ialah kes aktivis Ali Abdul Jalil, mangsa beberapa pertuduhan di bawah Akta Hasutan, yang telah terpaksa meninggalkan Malaysia dan mendapatkan perlindungan di Sweden akibat daripada penindasan oleh pihak berkuasa dan kumpulan samseng.

Ali memberitahu Malaysiakini semalam dari Sweeden bahawa beliau khuatir akan keselamatan dan nyawanya. Beliau berkata bahawa pihak polis, samseng, Perkasa, kumpulan-kumpulan ultra-Melayu, kumpulan-kumpulan dari Umno semuanya sedang mencarinya. Ada yang mengugut mahu membunuhnya dan mahu memukulnya.

Beliau berkata bahawa ada yang melabelnya sebagai pengkhianat dan tidak layak dilayan sebagai manusia.

Katanya lagi, kebanyakan pertubuhan Melayu seperti Perkasa memanggilnya sampah, dan pihak polis pula tidak melindunginya.

Ali berkata bahawa perasaan tiada daya upaya yang akhirnya memaksa beliau untuk pergi.

Beliau berkata sama ada beliau diberikan suaka atau tidak, beliau tidak akan melepaskan kerakyatan Malaysia.

Beliau berkata lagi bahawa beliau masih lagi seorang warganegara dan bangga menjadi warga Malaysia kerana Malaysia adalah tanah tumpah darahnya, rumah ibu bapa, keluarga, adik-beradik semuanya masih di Malaysia.

Apabila beliau kembali nanti katanya, itu adalah hari di mana kerajaan sedia ada telah tumbang.

“Semoga Umno tumbang, dan apabila kerajaan Malaysia berubah, saya berharap saya boleh pulang.”

Ahli Parlimen yang mana yang berani mengatakan bahawa dia lebih ‘Malaysian’ berbanding Ali, bahawa dia tidak akan meninggalkan negara dan mendapatkan suaka politik daripada negara lain sekiranya tidak berhasil mendapatkan keadilan dan risaukan keselamatan diri dan nyawanya?

Bulan lepas seorang lagi rakyat Malaysia, Alvin Tan, yang berhadapan pendakwaan jenayah di bawah Akta Hasutan dan pihak penapis filem akibat muatnaik penuh kontroversi, telah mengumumkan mahu mendapatkan suaka politik setelah bertindak meninggalkan negara ke Amerika Syarikat.

Saya tidak setuju dengan kesalahan yang dilakukan oleh Ali dan Alvin, sekiranya mereka melakukan kesalahan itu, tetapi ada sesuatu yang sangat tidak kena dan begitu meloyakan dengan negara ini apabila mereka terpaksa melarikan diri untuk mendapatkan suaka politik dari negara asing kerana tidak mampu mendapatkan keadilan di Malaysia; dan lebih serius lagi, merasakan nyawa mereka terancam.

Bolehkah mana-mana Ahli Parlimen memberitahu kepada saya siapa lagi rakyat Malaysia yang terpaksa meninggalkan negara kerana tidak mampu mendapatkan keadilan di mahkamah-mahkamah Malaysia, atau lebih teruk lagi, merasakan nyawanya terancam dan tidak selamat di negara ini di bawah mana-mana lima Perdana Menteri yang lalu – Tunku, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir ataupun Tun Abdullah?

Sekiranya tidak ada seorang pun warganegara di bawah pentadbiran lima Perdana Menteri yang lalu terpaksa meninggalkan Malaysia sama ada kerana tidak mendapat keadilan atau merasakan nyawanya tidak selamat, ini adalah suatu dakwaan yang amat berat terhadap pentadbiran dan pengamalan kesederhanaan dan wasatiyah di bawah Perdana Menteri keenam!

Contoh kedua bertambahnya kebencian, ekstremisme dan sikap tidak toleran adalah kes penganjur ‘I Want To Touch A Dog’, Syed Azmi Alhabshi, yang dibanjiri ugutan bunuh dan mesej kebencian dalam jangka masa beberapa jam sahaja sebaik selesai acara penuh kontroversi itu, tidak kiralah melalui Whatsapp, panggilan telefon mahupun Facebook.

Kenyataan dan fitnah liar telah dilemparkan terhadap Syed Azmi dan mereka yang terlibat dalam acara tersebut, antara lain menuduh Syed Azmi seorang Syiah, atau seorang Kristian, atau sedang menyebarkan liberalisme.

Kita boleh setuju ataupun tidak setuju dengan acara yang dianjurkan oleh Syed Azmi, namun apa yang tidak boleh diterima sama sekali adalah ugutan bunuh dan dakwaan serta fitnah yang begitu berleluasa terhadap Syed Azmi di media sosial.

Beliau telah membuat laporan kepada pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 22 Oktober.

Namun sangat mengejutkan apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek boleh ‘cuci tangan’ dan tidak mahu bertanggungjawab, menyatakan SKMM tidak akan bertindak terhadap ugutan bunuh dan keganasan terhadap Syed Azmi memandangkan itu adalah tugas polis.

Namun begitu alasan lemah Shabery ini tidak pula menghalang SKMM daripada bertindak segera apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukriz Mahathir menerima ugutan bunuh secara online awal tahun ini, dan kemudiannya menyaksikan seorang penulis blog berkaitan ditahan dalam masa 24 jam laporan polis dibuat.

Kesederhanaan tidak bermaksud melaksanakan undang-undang secara ‘double-standard’ dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pentadbiran dan keadilan di negara ini.

Contoh ketiga yang menunjukkan betapa kita telah menyimpang daripada kesederhanaan adalah tindakan Universiti Malaya menghalang Anwar Ibrahim daripada berucap di kampus tersebut malam ini dan memberikan surat tunjuk sebab kepada presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol berikutan program ‘40 tahun dari UM ke penjara’.

Universiti Malaya nampaknya lebih rajin mencabul kebebasan akademik mahasiswa dan ahli akademik berbanding mengembalikan reputasi antarabangsanya dahulu dari sudut kecemerlangan akademik.

Baru-baru ini, untuk lima kali berturut-turut sejak bermulanya Ranking Universiti Dunia Times Higher Education pada tahun 2010, tidak ada satu pun universiti termasuk Universiti Malaya tersenarai dalam ranking 400 universiti terbaik THE.

Malangnya, ini pun langsung tidak disebut dalam ucapan Bajet 2015 walaupun Najib telah mencabar Universiti Malaya sembian tahun lalu untuk menjadi salah satu daripada 50 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020 lima tahun lagi.

Tiga minggu lalu Najib mengucapkan tahniah melalui Twitter kepada lima universiti Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan 400 teratas dalam Ranking Universiti Dunia QS 2014, iaitu Universiti Malaya yang tahun lalu berada di kedudukan 167 kini di nombor 151, Universiti Kebangsaan Malaysia daripada kedudukan 269 ke 259, Universiti Teknologi Malaysia daripada kedudukan 355 ke 294, Universiti Sains Malaysia daripada kedudukan 355 ke 309 dan Universiti Putra Malaysia daripada 411-420 ke kedudukan 376.

Namun kedua-dua Najib dan timbalannya yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya bisu bulan ini apabila tidak ada satu pun universiti Malaysia tersenarai dalam senarai 400 teratas ranking universiti THE 2014-2015.

Hujah-hujah untuk menjustifikasi pemboikotan UM dan UKM dalam senarai 400 teratas ranking universiti THE sementara terus menyertai ranking universiti dunia QS adalah sangat lemah dan tidak dapat dipertahankan.

Adakah UM dan UKM akan terus dikecualikan daripada senarai Top 400 THE jika mereka turut serta?

Empat lagi universiti Malaysia menyertai ranking THE 2014-15, tetapi tidak satu pun berjaya menduduki tangga 400 teratas.

Adalah amat memalukan kedua-dua UM dan UKM sekiranya salah satu daripada empat universiti yang lain itu berjaya tersenarai dalam kedudukan 400 teratas THE.

Walaupun Najib mencabar Universiti Malaya untuk berada di antara 50 universiti teratas ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2005, bekas Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Profesor Dr Ghauth Jasmon, telah menetapkan sasaran yang lebih realistik sewaktu beliau menerajui universiti tersebut antara tahun 2008-2013 – untuk menyertai senarai 100 teratas QS World University Ranking pada tahun 2015.

Mampukah UM mencapai sasaran Ghauth untuk menyertai senarai 100 teratas QS World University Ranking tahun depan?

Ini adalah suatu misi mutahil, memandangkan ranking terbaik UM dalam QS adalah kedudukan 151 tahun ini.

Universiti Malaya seharusnya lebih peduli mengapa ia telah gagal mencapai sasaran jauh lebih rendah yang ditetapkan oleh Ghauth untuk menjadi antara 100 universiti terbaik di dunia (QS) pada tahun 2015, itu tidak lagi menyebut sasaran superlatif Perdana Menteri untuk menjadi antara 50 universiti terbaik di dunia menjelang tahun 2020, dan bukannya cuba menghalang Anwar daripada kembali ke almamaternya di Universiti Malaya petang ini.

Contoh keempat tewasnya kesederhanaan di Malaysia adalah sikap membisu, sama ada daripada Perdana Menteri atau Peguam Negara, terhadap krisis keyakinan yang paling teruk dalam sejarah negara terhadap peranan dan kuasa Peguam Negara.

Ini hasil daripada kontroversi yang semakin meningkat berikutan keputusan untuk tidak mendakwa Presiden Perkasa Ibrahim Ali atas ancamannya untuk membakar Bible berbahasa Melayu serta tindakan ‘blitzkrieg’ menggunakan Akta Hasutan terhadap banyak sekali rakyat Malaysia yang telah membuat kenyataan yang tidak pun bersifat ofensif demi mencipta suasana ketakutan.

Tiadanya akauntabiliti dan penjelasan yang memuaskan terhadap penyalahgunaan budi bicara Peguam Negara untuk tidak mendakwa Ibrahim Ali kerana mengancam mahu membakar Bible berbahasa Melayu dan pendakwaan menggila di bawah Akta Hasutan menimbulkan persoalan yang serius sama ada Peguam Negara komited menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan bertindak sebagai penjaga kepentingan awam – simbol negara yang komited dengan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan, khususnya ciri-ciri keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

Jelas, telah wujud suatu perubahan dalam dasar pendakwaan terhadap kes-kes hasutan, kerana ini jarang berlaku sebelum Najib menjadi Perdana Menteri. Parlimen dan negara berhak mengetahui dan membahaskan sebab-sebab perubahan dalam dasar pendakwaan bagi kes-kes hasutan, tetapi setakat ini tidak ada sebarang respon.

Peguam Negara terdahulu sebelum Gani, Tan Sri Abu Talib (1980-1993) dan Tan Sri Mokhtar Abdullah (1994 – 2000) mempunyai kontroversi masing-masing ketika mereka berkhidmat di bawah Perdana Menteri yang paling kontroversi di negara ini, Tun Dr Mahathir. Namun Gani Patail membayangi kedua-dua Talib dan Mokhtar dari segi kontroversi sejak menjadi Peguam Negara pada tahun 2002.

Gani telah memperoleh satu lagi pencapaian apabila dikritik oleh Peguam Negara terdahulu, bulan lepas Talib mengkritik hebat Gani Patail kerana telah berjanji untuk mengkaji semula kes hasutan terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat, ahli akademik dan aktivis sosial seperti Prof Dr Azmi Sharom selepas pertuduhan dilakukan, sambil rentetan tuduhan hasutan semakin dilihat sebagai penindasan dan bukan pendakwaan.

Kini sudah tujuh minggu sejak Gani memberi respon pada 9 Sept kepada kemarahan orang ramai terhadap pendakwaan di bawah Akta Hasutan, dan mengumumkan bahawa Pejabat Peguam Negara akan mengkaji semula tuduhan hasutan terhadap Azmi dan lain-lain, tapi nampaknya tiada harapan mengenai hasil kajian ini, mahupun sama ada telah belangsung sebarang kajian terhadap pendakwaan tersebut.

Adakah Perdana Menteri atau menteri undang-undang Nancy Shukri (Batang Sadong) tahu apa-apa tentang semakan semulan pertuduhan hasutan oleh Pejabat Peguam Negara, atau mereka berada dalam gelap memandangkan mereka tidak dapat menuntut sebarang akauntabiliti daripada Pejabat Peguam Negara selain daripada membaca jawapan yang telah tersedia di Parlimen?

Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui sama ada, dalam menjalankan budi bicara pendakwaan atas dasar ‘kepentingan umum’, adakah ia semata-mata pertimbangan undang-undang atau ia juga turut melibatkan pertimbangan “politik” , dan jika ya, apakah sifat pertimbangan “politik ” ini.

Surat oleh Hakim Mahkamah Rayuan , KC Vohrah baru-baru ini mengenai “Keraguan dalam pentadbiran keadilan” (Star 23 Oktober 2014) menyatakan kebimbangan yang wujud dalam banyak fikiran.

Vohrah, yang pernah berkhidmat dengan Pejabat Peguam Negara selama 16 tahun pada 70-an dan awal 80-an, berkata budi bicara pendakwaan Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan adalah “satu kekuatan yang luar biasa yang perlu dilaksanakan secara bona fide beserta profesionalisme dan dengan berhati-hati. ”

Beliau berkata: “Dan mana-mana persepsi bahawa AG apabila menjalankan apa-apa kuasa, adalah berat sebelah, selektif atau bertindak di bawah tekanan menteri atau tekanan daripada mana-mana kumpulan akan membawa keburukan kepada pejabat Peguam Negara dan menyebabkan keraguan yang serius terhadap pentadbiran sistem undang-undang. Dan apabila rasa tidak percaya timbul terhadap pelaksanaan kuasa-kuasa itu, ia akan memberi nama buruk kepada Kerajaan. ”

Vohrah telah menyertai seruan untuk mengkaji semula dan menarik balik kes-kes di mana pertuduhan telah dibuat berdasarkan tiga pertimbangan:

(1) Akta Hasutan adalah undang-undang yang menindas dan ramai ahli akademik melihat hasutan (berdasarkan fitnah hasutan ‘common law’) sebagai ketinggalan zaman.

(2) Bahawa apabila seseorang didakwa di bawah kesalahan Akta Hasutan, melihat keadaan undang-undang kes di Malaysia, tidak ada pembelaan yang biasanya boleh digunakan untuk kesalahan di bawah Kanun Keseksaan contohnya atau undang-undang lain yang mewujudkan kesalahan – sama ada benar, tiada niat, kehadiran niat yang tidak bersalah atau baik, tiada bahaya akibat, atau bahkan kekurangan kemungkinan atau potensi bahaya akibat.

(3) Bahawa Peguam Negara sebelum menggunakan budi bicaranya sama ada untuk mendakwa seseorang atas kesalahan hasutan harus mengabaikan tekanan dari mana-mana pihak, politik atau sebaliknya, yang membuat bising atau membantah, atau yang bermaksud baik mahupun kumpulan yang berniat baik (yang tidak melihat implikasi undang-undang yang menindas ), dan memberi tumpuan kepada sama ada ia adalah munasabah untuk mendakwa orang tersebut dalam konteks semua hal keadaan yang berkaitan dalam zaman “perselisihan dalam idea-idea dan kepercayaan pada setiap perkara yang dapat difikirkan” yang merupakan inti dari kehidupan kita di Malaysia yang moden dan mahu berstatus membangun pada tahun 2020.

Adakah Perdana Menteri dan Peguam Negara mengendahkan suara akal waras majoriti besar rakyat Malaysia yang berfikir dan berpertimbangan?

Kelima, Presiden Gerakan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong baru-baru ini berkata, kempen 1Malaysia, yang nampaknya telah kehabisan tenaga sejak pilihan raya umum lepas, memerlukan Tongkat Ali untuk memberikan dorongan supaya kempen tersebut boleh “tahan lama”.

Hal ini tidak hanya terpakai untuk kempen 1Malaysia Najib, tetapi juga untuk “Pergerakan Kesederhanaan Global” di Malaysia.

Dalam kajian terbaru oleh Pusat Penyelidikan Pew, hampir satu pertiga daripada rakyat Malaysia melihat kebencian agama dan etnik membawa ancaman bahaya terbesar kepada dunia, kerunsingan itu turut dikongsi bersama oleh Indonesia di tengah-tengah ketegangan agama yang membara di kedua-dua negara dan kebangkitan kumpulan militan Islam .

Kajian Bahaya Terbesar di Dunia oleh kumpulan penyelidik yang berpangkalan di Washington itu menunjukkan 32 peratus rakyat Malaysia menamakan kebencian agama dan etnik sebagai ancaman global yang terbesar hari ini.

Dalam kaji selidik global dari 44 buah negara di kalangan 48,643 responden, Malaysia adalah salah satu daripada 12 negara yang melihat kebencian agama dan etnik membawa bahaya yang paling besar kepada dunia.

Kajian Pusat Penyelidikan Pew telah dijalankan antara 17 Mac hingga Jun 5. Jika ia dilakukan hari ini, penonjolan kebencian agama dan etnik untuk membawa bahaya yang paling besar kepada dunia akan meningkat ke tahap yang lebih tinggi hasil daripada peningkatan berterusan ekstremisme dan sikap tidak toleran terhadap agama, sehingga tahap di mana gagasan Najib, Gerakan kesederhanaan Global dan operasi GMM dianggap sebagai subversif dan “menghasut”, secara serius menjejaskan operasi mereka untuk menggalakkan kesederhanaan di Malaysia.

Pada 27 September, Najib membuat ucapan yang wajar dipuji di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyatakan agenda kesederhanaan untuk dunia, beliau menyatakan: “Perjuangan menentang ekstremisme bukan mengenai Kristian melawan Islam, atau orang Islam melawan Yahudi, tetapi golongan sederhana melawan pelampau dari semua agama. Oleh itu, kita perlu mewujudkan koalisi sederhana; mereka yang bersedia untuk merebut kembali agama mereka, dan menuju jalan ke arah keamanan. ”

Saya tidak ragu bahawa dalam forum-forum antarabangsa, di mana Najib telah menjelaskan kempen kesederhanaan globalnya, sama ada di Pusat Pengajian Islam Oxford, Pusat Timur-Barat di Hawaii atau di persidangan Asia-Eropah (ASEM), sekiranya Najib telah ditanya sama ada mereka yang mengancam untuk membakar kitab-kitab suci agama-agama yang berbeza adalah ekstrimis, jawapannya akan bersifat positif mutlak.

Tetapi di Malaysia, kerajaannya mencari alasan mempertahankan ancaman Ibrahim Ali untuk membakar Bible berbahasa Melayu dengan alasan yang sama sekali tidak boleh diterima dan mengarut, bahawa Ibrahim Ali telah melindungi kesucian Islam dan tindakannya dilindungi oleh Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Apakah arah tuju Malaysia pada kadar ucapan kebencian, ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi berlaku secara berleluasa dan dibenarkan beroperasi dengan kekebalan dan sewenang-wenangnya walaupun kenyataan mereka mereka begitu berbahaya?
Adakah Gerakan Kesederhanaan Global satu hari nanti akan tidak berfungsi lagi, atau dibatalkan, dimandulkan dan dibuang taringnya?

Keenam – kekecohan “pendatang” baru-baru ini bukan sahaja bukti kegagalan dasar 1Malaysia Najib dan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global, tetapi juga usaha 57 tahun UMNO / BN Malaysia membangunkan negara.

Selain Sabah, yang merupakan kes khas dengan sendirinya, majoriti besar rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama, adalah anak kelahiran tempatan dan 100% rakyat Malaysia – suatu angka yang boleh menjadi setinggi lebih dari 95 peratus bagi rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Sama ada nenek moyang Melayu, India atau Cina adalah pendatang, tidak ada sebarang sebab atau justifikasi bagi mana-mana rakyat Malaysia untuk menggambarkan satu lagi rakyat Malaysia dari etnik yang berbeza sebagai “pendatang”, terutamanya apabila istilah ini dimuatkan dalam erti kata yang sangat menghina, merendahkan dan bahkan kasar.

Hal ini sebenarnya mempersoalkan hak kewarganegaraan rakyat Malaysia, yang dijadikan salah satu daripada empat hak “sensitif” dalam Perlembagaan Malaysia dalam tahun 1971, di mana ia menjadi suatu kesalahan hasutan untuk menyeru supaya kewarganegaraan seseorang rakyat Malaysia ditarik balik.

Sejak tahun 70-an, sudah ada sebuah Jabatan Perpaduan Negara di Jabatan Perdana Menteri, namun puluhan bahkan ratusan juta ringgit dari perbelanjaan belanjawan selama lebih empat dekad untuk jabatan ini di Pejabat Perdana Menteri telah menjadi pembaziran apabila selepas 57 tahun Merdeka, ekstremis boleh melemparkan tuduhan “pendatang” terhadap rakyat biasa yang setia dan patriotik dalam perkembangan terbaru meningkatnya ucapan kebencian di negara ini.

Memanggil rakyat Malaysia yang setia, patriotik, dan dilahirkan, dibesarkan serta yang akan mati di Malaysia sebagai “pendatang” mesti dikutuk sebagai satu bentuk ekstremisme, yang telah dikutuk oleh Najib sendiri di PBB dan di forum-forum antarabangsa sejak menjadi Perdana Menteri.

Memandangkan mempersoalkan hak kewarganegaraan adalah merupakan kesalahan menghasut di bawah empat fasal sensitif dalam Perlembagaan Pindaan Rang Undang-undang tahun 1971, bolehkah Perdana Menteri memberitahu Dewan berapa banyak kes-kes pendakwaan hasutan yang telah dimulakan oleh Peguam Negara memandangkan tindakan mempersoal kewarganegaraan, termasuk memberi label “pendatang”, telah menjadi sangat kerap dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Ketujuh, bagaimana Malaysia boleh mendakwa ia sebuah negara yang sederhana apabila kita terus mempunyai kedudukan begitu rendah di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) (CPI) dalam dua dekad yang lalu?

Kita bahkan kalah dengan Indonesia dan China dari aspek anti-rasuah.

Dalam CPI yang pertama pada tahun 1995, Malaysia menduduki tempat ke 23 daripada 41 negara dengan skor CPI sebanyak 5.28.

Sembilan belas tahun kemudian, setelah pelbagai kempen anti-rasuah, dua undang-undang besar anti-rasuah, “peningkatan” martabat Badan Pencegah Rasuah bekas (BPR) menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pelan Integriti Nasional, Program Transformasi Kerajaan dengan kemasukan besar dana awam dan peningkatan jumlah kakitangan, Malaysia kini jatuh dalam CPI TI 2013 ke tangga 53 daripada 177 negara, bergelut dengan skor CPI sebanyak 50/100 – tahap ini lebih rendah daripada yang pernah direkodkan di bawah dua Perdana Menteri sebelumnya, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

Sebagai perbandingan, Indonesia menduduki tempat di bahagian paling bawah di nombor 41 pada tahun 1995 dengan skor CPI sebanyak 1.94 manakala China menduduki tempat ke-40 dengan skor CPI 2.16 pada tahun 1995. Sekarang Indonesia berada di kedudukan No. 114 dengan skor CPI daripada 32 / 100 manakala China berada di kedudukan No. 80 dengan skor 40/100.

Pada kadar purata tahunan penambahbaikan Indonesia dan China dari segi ranking CPI TI dan skor dalam tempoh lima tahun yang lalu, manakala Malaysia bergelut untuk kekal dalam skor CPI yang baik, Malaysia akan ketinggalan berbanding Indonesia dan China dalam tempoh kurang sedekad, bahkan juga sebelum 2020.

Apakah ada strategi yang dirangka oleh Najib dan SPRM untuk mencegah bencana ini?

Saya baru-baru ini merujuk kepada perbezaan siang dan malam antara usaha anti-rasuah di antara Malaysia dan lndonesia.

Walaupun usaha anti rasuah di Malaysia baru-baru ini hangat dalam berita, dengan penangkapan pegawai kastam dan mereka yang terlibat dalam kegiatan pembalakan haram di Sarawak, yang rancak dilaporkan media tempatan, mereka ini tergolong dalam kategori “lalat” jika dibandingkan dengan kempen anti rasuah China terhadap “harimau dan lalat”.

Dengan kaji selidik terbaru oleh Ernst & Young bahawa Malaysia menduduki tempat sebagai salah satu daripada negara-negara yang paling korup dan disenaraikan sebagai sebuah negara yang paling mungkin untuk mengambil jalan pintas bagi mencapai sasaran apabila keadaan ekonomi tidak begitu kukuh, rakyat Malaysia berhak untuk bertanya: Mengapa SPRM hanya menangkap “lalat”, di mana pula para “harimau”?

Atau menggunakan istilah Malaysia, di mana para “jerung”, memandangkan SPRM dan pendahulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mampu untuk menghantar walau seekor pun “jerung” ke penjara selama 33 tahun yang lalu di bawah tiga Perdana Menteri – Najib, Abdullah dan Mahathir – sedangkan penjara di kedua-dua Indonesia dan China penuh dengan “jerung” atau “harimau dan lalat”!

Indonesia baru-baru ini menjadi tajuk utama berita dunia mengenai kesungguhan dan komitmen untuk melawan rasuah apabila Presiden barunya, Joko Widowo menugaskan agensi anti-rasuah di Indonesia, Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) dengan tugas menilai dan membersihkan calon kabinetnya.

Jokowi, yang dilantik Presiden Isnin lepas (20 Oktober), menggugurkan lapan calon Kabinet selepas KPK membantah pelantikan mereka. Jokowi mengumumkan kabinet barunya semalam selepas mengemukakan nama-nama baru kepada KPK untuk menggantikan lapan calon yang digugurkan kerana beliau dia mahu Menteri yang baik dan bersih dan lulus pemeriksaan oleh Komisi Pemberantasan Korupsi.

Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mencontohi Jokowi dan menyerahkan pelantikan kabinet baru kepada sebuah suruhanjaya anti-rasuah yang boleh dipercayai untuk dibersihkan dan menggugurkan mereka yang gagal?

Saya berada di Sabah pada hujung minggu lalu, dan saya bertanya mengapa SPRM begitu diam, tidak aktif dan tidak berdaya di Sabah, sedangkan Sabah mendahului sebagai pentadbiran yang mempunyai masalah rasuah yang paling teruk.

Apakah SPRM, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah bersedia untuk menjadikan Sabah sebagai model pentadbiran bebas rasuah dan tidak lagi mengepalai senarai pentadbiran yang paling korup di Malaysia?

Rakyat Malaysia berasa begitu suram dengan usaha-usaha anti-rasuah kecil-kecilan dan tidak lega ketika mereka dibanjiri dengan tajuk berita seperti “Malaysia one of the most corrupt nations, survey shows” (September 27), “No plan to boost law to probe into ‘high-living’ civil servants”(Oktober 8) dan” Top cop looks to ordinary Malaysians to keep police in check”(23 Oktober).

Tidak ada satu perkataan pun menyebutkan usaha-usaha anti-rasuah dalam ucapan Bajet 2015 Najib.

Bolehkah beliau menjelaskan mengapa Malaysia ketinggalan begitu teruk berbanding Indonesia dan China dalam usaha dan hasil kempen anti-rasuah, dengan tiada seekor pun “jerung” diheret ke penjara setakat ini sama ada di bawah Perdana Menteri sekarang atau dua Perdana Menteri sebelumnya, selama 33 tahun sejak tahun 1981 sedangkan penangkapan, pendakwaan dan penahanan “jerung” telah menjadi sangat biasa di Indonesia dan China?

Bagaimanakah rekod rasuah Malaysia yang begitu berleluasa dan usaha-usaha anti-rasuah yang begitu lemah menepati komitmen Malaysia terhadap agenda wasatiyyah atau kesederhanaan?

Kelapan, dengan pelantikan Jokowi Isnin lepas dan pembentukan Kabinet semalam selepas pemeriksaan KPK, kita melihat wajah baru dan harapan baru untuk demokrasi Indonesia.

Sebaliknya, Malaysia berdiri di ambang satu lagi gegaran politik dengan rakyat Malaysia dan seluruh dunia menantikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam tempoh dua hari akan datang dalam rayuan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dalam kes Liwat II.

Saya berasa terkejut, luar biasa dan keterlaluan bagi Peguam Negara membuat rayuan terhadap hukuman lima tahun penjara Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Liwat II kes apabila Mahkamah Persekutuan bersidang pada hari Selasa dan Rabu untuk mendengar rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.

Telah dilaporkan bahawa pihak pendakwaan telah membuat rayuan balas dan mahu Anwar dipenjara selama lebih daripada lima tahun sambil berhujah bahawa hukuman penjara Mahkamah Rayuan selama lima tahun adalah “jelas tidak memadai”, “tidak mencerminkan keseriusan kesalahan itu” dan “tidak menyampaikan matlamat keadilan dari perspektif kepentingan awam”.

Ada anasir di kalangan mereka yang berkuasa yang ingin menyingkirkan Pembangkang, dengan cara apa sekalipun, tetapi saya ingin bertanya kepada Najib sama ada beliau sedemikian kejam, tidak berperasaan dan tidak berhati perut sehingga mahukan Anwar dipenjara selama 20 tahun dan tidak dibebaskan sehingga beliau berusia lapan puluh tahun?

Adakah ini sesuai dengan saranan Najib tentang wasatiyyah atau kesederhanaan yang menekankan kepada prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan?

Di Indonesia, sudah menjadi perkara biasa bagi mereka yang bergiat dalam sesebuah golongan elit politik seperti Menteri, untuk dihukum dan dipenjara – bukan untuk kesalahan yang dibuat-buat, tetapi kerana melanggar peraturan yang jelas dan khusus seperti amalan rasuah, contohnya:

*bekas Menteri Belia dan Sukan Andi Mallarangeng dijatuhkan hukuman empat tahun penjara pada bulan Julai kerana menerima rasuah berjumlah Rp 4 bilion ($ 330,000) dan $ 550,000 berhubung pembinaan pusat latihan sukan Hambalang di Jawa Barat dan rayuannya telah ditolak beberapa hari yang lalu

*pada awal September, bekas Menteri Tenaga dan Perlombongan Jero Wacik dinamakan sebagai suspek dalam kes pemerasan yang didakwa mengumpulkan hampir Rp 10 bilion ($ 585,000) untuk dana operasi kementeriannya;

*dan pada akhir September, bekas ketua umum Partai Demokrat parti bekas Presiden Susilo Bambang Sudhoyono, Anas Urbaningrum dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara, denda Rp300 juta (AS $ 25,200) dan menuntut bayaran ganti rugi sebanyak Rp 57.5 bilion dan $ 5.2 juta setelah didapti bersalah kerana rasuah dan pengubahan wang haram.

Rakyat Malaysia dan Indonesia dapat memahami rayuan pihak berkuasa Indonesia terhadap hukuman Anas sehingga lapan tahun di penjara, yang kurang separuh daripada hukuman penjara 15 tahun yang diminta oleh pihak pendakwaan Indonesia.

Tetapi apakah “kepentingan umum” dalam rayuan pihak pendakwaan di Malaysia terhadap hukuman lima tahun penjara Anwar, selain mempunyai objektif politik tersembunyi daripada kuasa yang ada untuk membunuh kerjaya politik Ketua Pembangkang?

Saya berharap pihak-pihak berkenaan akan bertindak secara waras, dan agenda wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi bimbingan kerajaan Najib, akan menunjukkan hala tuju dasar Peguam Negara dan semoga pihak pendakwaan akan menarik balik rayuan balas mereka di Mahkamah Persekutuan esok.

— end —