Blog

Selangor-YAKEB tingkat kerjasama bela nasib bekas atlet

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi membela nasib bekas atlet Selangor yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri komited membantu bekas atlet Selangor yang jasa mereka semakin dilupakan.

“Kita akan bekerjasama dengan YAKEB (terutamanya) dari segi peruntukan yang akan diberikan secara tahunan supaya YAKEB boleh menjejaki atlet kita yang pernah berjasa kepada Selangor.

“Kerajaan Selangor tidak mahu kebajikan bekas atlet ini terabai dan kita memberi isyarat kepada pihak luar bahawa Selangor sentiasa mengambil berat kebajikan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat bekas pemain Selangor era 70-an, Zapril Hashim di rumahnya di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai Zapril, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya akan mencari jalan membantu bekas pemain Selangor itu yang membantu negeri itu meraih Piala Malaysia sebanyak lima kali.

Pada lawatan berkenaan, Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras turut menyerahkan bantuan peribadi sebanyak RM1,500 kepada Zapril untuk perbelanjaan hariannya.

Dalam pada itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kerjasama dengan exco sukan di setiap negeri bagi memastikan mereka tidak terlepas pandang bekas atlet kebangsaan yang sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kerjasama daripada kerajaan negeri Selangor amat menggalakkan terutamanya dari segi bantuan perubatan, malahan bantuan-bantuan lain turut disalurkan kepada Yakeb dan kami akan salurkan bantuan berkenaan kepada bekas atlet yang memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Zapril, 61, jelas terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri Selangor dan Yakeb kerana membiayai kos rawatan penyakit kencing manis yang dihidapinya ketika ini.

“Saya harap bantuan ini dapat membuka mata pihak lain dalam membantu bekas atlet negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kehidupan Zapril kian terhimpit sejak tiga jari kaki kanannya terpaksa dipotong pada 25 Mei lalu di Hospital Ampang, Selangor kerana menghidap penyakit kencing manis.

Zapril yang pernah mewakili Selangor dari 1978 sehingga 1986 hanya memperoleh RM200 sebulan atas ihsan rakan-rakan malah terpaksa tinggal bersama pekerja asing dari Bangladesh di sebuah rumah kedai di ibu kota.

– BERNAMA