Lebih 5,000 warga emas DUN Selat Klang terima Jom Shopping SMUE

KLANG, 30 SEPT: Seramai 5,800 warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang bakal menerima Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) secara berperingkat.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pemberian baucer RM100 itu akan mengikut bulan kelahiran golongan berkaitan bermula September ini.

“Jom Shopping SMUE ini adalah salah satu produk Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri selepas dijenamakan semula pemberian khairat kematian.

“Ini membuktikan keprihatinan Selangor kepada warga emas yang memerlukan tanpa mengira kaum,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pemberian Jom Shopping SMUE, di Pasaraya Econmart di sini, hari ini.

Penerima memilih barangan keperluan harian ketika Program Jom Shopping Skim Mesra Warga Emas DUN Selat Klang di Econmart Sungai Bertih Jalan Yadi pada 30 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang itu berkata, pemberian berkenaan juga bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menghargai warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri.

Beliau turut berharap warga emas yang menerima manfaat itu dapat berbelanja dengan berhemah mengikut keperluan.

Pada program itu, seramai 128 warga emas menerima baucer pada peringkat pertama bagi DUN berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta setahun untuk program terbabit dan semua warga emas berdaftar layak menerimanya bermula September ini.

Menerusi langkah ini, Kerajaan Negeri menjangkakan lebih 200,000 warga emas akan dapat menikmati manfaatnya di sepanjang hidup mereka.

Pelaksanaan program terbabit akan dibuat secara berperingkat mengikut bulan kelahiran masing-masing.

The post Lebih 5,000 warga emas DUN Selat Klang terima Jom Shopping SMUE appeared first on Selangorkini.