Dana RM200,000 bagi program Kerja dari Rumah setimpal

SHAH ALAM, 1 NOV: Peruntukan Belanjawan #Selangor2020 bagi program Kerja dari Rumah atau ‘Work From Home’ sebanyak RM200,000 disifatkan setimpal bagi peringkat permulaan ia dilaksanakan, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, peruntukan itu memberi motivasi kepada pihaknya untuk memastikan program itu berjaya dilaksanakan.

Katanya, beliau gembira program perintis yang mula diperkenalkan pada tahun ini diteruskan pada 2020.

“Dengan bajet RM200,000 mungkin ia agak sedikit namun itu adalah satu permulaan yang bagus dan motivasi buat kita semua bagi memastikan ia berjaya.

“Apabila ia berjaya dan sambutan diterima memberangsangkan mungkin pada tahun akan datang kita mempunyai keberanian untuk meminta bajet yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pembentangan Belanjawan #Selangor2020 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan sejumlah RM200,000 diperuntukkan bagi program Kerja dari Rumah dengan mensasarkan penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang terdiri daripada suri rumah, wanita tidak bekerja, ibu tunggal dan wanita dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

Inisiatif itu bertujuan membantu golongan terbabit menjana pendapatan, mengekalkan pendapatan tersebut secara konsisten dan menaik taraf ekonomi mereka.

Program itu berhasrat membantu peserta terpilih mendaftarkan perniagaan dan produk mereka ke SME Corporation dan MATRADE.

Matlamat utama projek ini adalah pengkomersialan produk buatan tempatan ke peringkat antarabangsa untuk menembusi pasaran global yang membolehkan produk wanita Selangor dilihat di seluruh dunia.

The post Dana RM200,000 bagi program Kerja dari Rumah setimpal appeared first on Selangorkini.