Peruntukan KISS ditambah RM12 juta 2020

SHAH ALAM, 1 NOV: Peruntukan bagi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) ditambah RM12 juta lagi menjadikan jumlah keseluruhan bagi tahun 2020 meningkat kepada RM62 juta.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pertambahan itu berikutan keputusan Kerajaan Negeri menambah 5,000 penerima sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penerima seramai 25,000 bagi tahun 2020.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, inisiatif KISS telah memberi manfaat kepada hampir 50,000 wanita di Selangor pada setiap tahun dan inisiatif ini telah berjaya dalam memberdaya kaum wanita sebagai tonggak keluarga.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dan menghargai peranan positif golongan wanita dalam pembangunan negeri khususnya pembangunan institusi keluarga yang berkualiti bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Selain itu, sejumlah RM500,000 turut diperuntukkan bagi membiayai 100 pelajar pengambilan pertama Akademi Kepimpinan Wanita Selangor di bawah program Pusat Wanita Berdaya.

Langkah ini diambil bagi membolehkan 100 pelajar kelompok pertama pengambilan akademi ini dapat bergraduasi menjelang akhir tahun 2020.

“Melalui program ini, pelajar berpeluang dan diberi keutamaan untuk memohon biasiswa pembelajaran sepanjang hayat di bawah Institut Wanita Berdaya (IWB) dengan usahasama Open University Malaysia,” katanya.

The post Peruntukan KISS ditambah RM12 juta 2020 appeared first on Selangorkini.