#Selangor2020: 50 peratus fokus capai visi Negeri Pintar

SHAH ALAM, 1 NOV: Sebanyak 50 peratus intipati Belanjawan #Selangor2020 yang dibentangkan hari ini memfokuskan pembangunan infrastruktur ke arah melengkapkan visi Negeri Pintar menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata peruntukan bagi merealisasikan hasrat itu membabitkan kos tertinggi jika diukur dengan corak belanjawan tiga tahun sebelumnya.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM47 juta bagi pembangunan infrastruktur, tetapi untuk tahun 2020, kita belanjakan RM50 juta bagi program Negeri Pintar.

“Kita juga menganggarkan RM300 juta dalam tempoh enam tahun ke hadapan, khususnya bagi melengkapkan hasrat itu (Negeri Pintar).

“Malah, kita turut melakukan unjuran ekonomi melalui penyediaan kawasan pelaburan ekonomi baharu dalam sektor elektrik dan elektronik termasuk aeroangkasa serta meningkatkan promosi pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pembentangan belanjawan di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, beberapa program baharu turut diperkenalkan bagi meningkatkan pendapatan dan pembasmian kemiskinan.

Katanya ia termasuk Program Bank Makanan Selangor dan Inisiatif Lesen Motor Selangor yang bakal meningkatkan taraf ekonomi serta menjana pendapatan melalui ekonomi gig belia.

“Tambahan 6,379 unit Rumah Selangorku turut dibina di lokasi strategik beserta Skim Smart Sewa bagi memperkukuh institusi keluarga menjelang 2020,” katanya.

The post #Selangor2020: 50 peratus fokus capai visi Negeri Pintar appeared first on Selangorkini.