Laluan baharu Bas Smart Selangor Batu Arang-KTM Sungai Buloh

RAWANG, 29 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperluaskan operasi Bas Smart Selangor membabitkan laluan baharu yang menghubungkan Batu Arang dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, laluan baharu yang ketiga (MPS3) itu turut melalui Bandar Tasik Puteri, Kundang, Bukit Rahman Putra dan Sungai Buloh.

“MPS3 iaitu dari Stesen KTM Sungai Buloh ke Batu Arang membabitkan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM1.2 juta setahun.

“Laluan baharu membabitkan peruntukan Kerajaan Negeri RM1.2 juta setahun itu juga secara tidak langsung menghubungkan orang ramai dengan infrastruktur lain seperti sekolah, perhentian bas, masjid, hospital dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Laluan 3 Bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Selayang di Batu Arang, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor; Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Tuan Chua Wei Kiat dan ADN Kuang, Sallehudin Amiruddin.

Oleh itu, katanya, Kerajaan Negeri berharap rakyat Selangor mengambil peluang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu.

“Penyediaan bas percuma itu selaras dengan keprihatinan kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat selain sebagai langkah awal menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Sze Han berkata, perkhidmatan laluan MPS3 ini membabitkan empat buah bas yang memulakan operasinya dari jam 6 pagi hingga jam 10 malam pada setiap hari.

“Lebih menarik kemudahan Bas Smart Selangor turut dilengkapi Wifi, sistem televisyen litar tertutup, Sistem Maklumat Penumpang dan mesra Orang Kelainan Upaya,” katanya.

Katanya, perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan MPS dimulakan pada pertengahan tahun 2016 dengan enam buah bas bagi laluan Selayang Mutiara ke Terminal Putra Gombak manakala empat buah bas lagi bagi laluan MPS2 yang menghubungkan Tesco Rawang ke Terminal Bas Rawang.

Sehingga kini, seramai 1.025 juta penumpang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor bagi kawasan pentadbiran MPS.

The post Laluan baharu Bas Smart Selangor Batu Arang-KTM Sungai Buloh appeared first on Selangorkini.