Hanya 83,382 daftar air percuma

SHAH ALAM, 18 DIS: Hanya 83,382 permohonan Skim Air Darul Ehsan diterima Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) setakat 15 Disember lalu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata angka itu masih rendah berbanding sasaran Kerajaan Negeri.

“Daripada jumlah itu, hanya 46,941 pemohon mempunyai maklumat lengkap sementara 27,415 permohonan lagi tidak boleh diproses kerana maklumat tidak lengkap.

“Manakala baki 9,026 pemohon pula sedang diproses untuk dikemas kini,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Pantai Baharu.

Abdul Halem berharap, orang ramai menggunakan peluang untuk mendaftar dalam skim berkenaan yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

“Rugi jika tidak mendaftar bagi mereka yang layak menikmati pemberian 20 meter padu air percuma ini.

“Walaupun, ia hanya RM11.40 untuk bil air sebulan tetapi kapasiti air yang diterima secara percuma itu bersamaan dengan 20,000 botol air,” katanya.

Skim Air Darul Ehsan yang berkuat kuasa 1 Mac 2020 menyasarkan golongan berpendapatan bawah RM4,000 untuk terus menikmati air percuma bagi 20 meter padu setiap bulan.

Terdahulu, Air Selangor membuka pendaftaran skim air berkenaan selama tiga bulan yang berakhir pada 31 Disember ini.

Pengguna boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat di www.ssipr.selangor.gov.my.

Pengguna juga boleh memuat turun borang permohonan di laman web www.airselangor.com atau kaunter perkhidmatan di 10 pejabat wilayah pengurusan Air Selangor.

The post Hanya 83,382 daftar air percuma appeared first on Selangorkini.