Sikap bertangguh, sanggup bayar antara punca lewat daftar air percuma

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Sikap gemar bertangguh segelintir masyarakat antara faktor yang dikenal pasti punca rakyat lewat mendaftar Skim Air Darul Ehsan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Abdul Halem Mat Som berkata, selain itu, ada kemungkinan juga pemohon beranggapan bahawa skim terbabit akan dibuka semula pendaftarannya tahun hadapan.

“Kelewatan mungkin disebabkan pemohon mengambil sikap menunggu dan akan membuat pendaftaran di saat-saat akhir.

“Mungkin ada (rakyat) yang kurang jelas dengan skim ini. Mereka fikir boleh mendaftar semula skim ini tahun berikutnya, sedangkan kita memang membuka pendaftaran setakat 31 Disember ini sahaja,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui.

Abdul Halem berkata, ada juga kemungkinan rakyat lebih rela membayar bil setiap bulan dengan beranggapan RM11.40 itu sebagai jumlah yang kecil.

“Contoh penduduk kampung, mungkin pendapatan mereka melebihi pendapatan minimum yang ditetapkan untuk skim ini.

“Ada juga faktor rakyat rasa tidak layak untuk memohon dan juga rela membayar bil bulanan.

“Namun, kita cuba membantu mereka jika mereka tidak pasti. Berdasarkan rekod yang diperolehi, banyak kempen (pendaftaran) agak perlahan,” katanya.

Menjawab persoalan adakah pendaftaran skim itu akan dibuka semula, Abdul Halem berkata, tarikh pendaftaran skim itu ditetapkan Kerajaan Negeri dan proses semakan kelayakan mengambil masa dua hingga tiga bulan.

Katanya, hal itu kerana pelaksanaan air percuma berkenaan akan bermula pada 1 Mac tahun hadapan.

“Bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2020, pihak kami akan membuat proses semakan kelayakan pemohon.

“Manakala, 1 Mac skim ini akan dilaksanakan untuk pemohon yang berjaya serta pada tempoh itu hingga April, pemohon yang tidak berjaya boleh membuat rayuan bagaimanapun keputusan tertakluk Kerajaan Negeri,” katanya.

The post Sikap bertangguh, sanggup bayar antara punca lewat daftar air percuma appeared first on Selangorkini.