MB bentang pelan pulih ekonomi 13 Julai

GOMBAK, 2 JULAI: Pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana akan dibentang pada 13 Julai, hari pertama persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dato’ Menteri Besar berkata pelan itu dirangka untuk tempoh enam bulan terakhir tahun ini bagi memastikan Selangor kekal berdaya saing dan mampan susulan kesan Covid-19.

“Saya akan maklumkan kepada DNS (mengenai) perancangan Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun supaya kita dapat pulihkan ekonomi.

“Selain itu, kita juga akan membentangkan pencapaian pentadbiran Kerajaan Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menghadiri program Ziarah Kasih Dewan Undangan Ne-geri Sungai Tua pada 27 Jun lalu.

Sidang itu dijadual diadakan sehingga 24 Julai dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat. Semua yang terlibat diwajibkan menjalani saringan Covid-19.

Pelan tersebut dijangka memberi tumpuan kepada isu perumahan, pendidikan dan pekerjaan. Siaran langsung DNS boleh diikuti melalui YouTube TVSelangor.

Sebelum ini, Selangor menyediakan dua fasa pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin, masing-masing berjumlah RM127.78 juta dan RM272.5 juta, bagi membela segenap lapisan rakyat.

Melalui pakej itu, penjaja dan peniaga kecil berlesen antara penerima bantuan sekali bayar RM500, petugas barisan hadapan (RM200), pesakit Covid-19 (RM1,000) dan mahasiswa (RM200).

Ahli Dewan Negeri diberi kelonggaran untuk menggunakan peruntukan RM30,000 bagi membantu orang ramai yang kesempitan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Pakej itu juga memberi pengecualian dan penangguhan bayaran tertentu termasuk Projek Perumahan Rakyat, Skim Smart Sewa dan sewa premis pihak berkuasa tempatan.

Selangor turut menganjurkan e-Bazar Raya dan Ramadan bagi membolehkan usahawan beroperasi. Pasar Agro Selangor turut diadakan bagi membantu petani memasarkan produk mereka.

The post MB bentang pelan pulih ekonomi 13 Julai appeared first on Selangorkini.