Pelan pulih ekonomi tumpu jana sektor utama pascawabak

SHAH ALAM, 7 JULAI: Pelan pemulihan jangka sederhana yang dibentangkan pada hari pertama persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Isnin depan menumpukan usaha mempertahan struktur ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan itu juga bagi menjana semula sektor utama dalam tempoh enam bulan terakhir tahun ini susulan impak Covid-19.

“Pelan pemulihan ini lanjutan terhadap pakej sebelum ini. Ekonomi negeri sedikit sebanyak terkesan dengan penularan Covid-19, jadi kita tunggu perinciannya nanti,” katanya ditemui pemberita selepas menjalani saringan di perkarangan Bangunan Annex, SUK hari ini.

Pelan tersebut dijangka memberi tumpuan kepada isu perumahan, pendidikan dan pekerjaan. Sebelum ini, Selangor menyediakan dua fasa Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin, masing-masing berjumlah RM127.78 juta dan RM272.5 juta.

Melalui pakej itu, penjaja dan peniaga kecil berlesen antara penerima bantuan sekali bayar RM500, petugas barisan hadapan (RM200), pesakit Covid-19 (RM1,000) dan mahasiswa (RM200).

Ahli Dewan Negeri diberi kelonggaran untuk menggunakan peruntukan RM30,000 bagi membantu orang ramai yang kesempitan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Pakej itu juga memberi pengecualian dan penangguhan bayaran tertentu termasuk Projek Perumahan Rakyat, Skim Smart Sewa dan sewa premis pihak berkuasa tempatan.

Selangor turut menganjurkan e-Bazar Raya dan Ramadan bagi membolehkan usahawan beroperasi. Pasar Agro Selangor turut diadakan bagi membantu petani memasarkan produk mereka.

The post Pelan pulih ekonomi tumpu jana sektor utama pascawabak appeared first on Selangorkini.