iGems program kukuhkan kekeluargaan

SUNGAI BULOH, 8 FEB: Kerajaan Negeri memandang serius angka perceraian membabitkan pasangan Islam yang direkodkan di Selangor berjumlah 12,203 kes pada 2017, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, jumlah tersebut adalah tertinggi direkodkan.

Oleh itu, katanya, Kerajaan Negeri pada 2017 memperkenalkan program Insentif Perkahwinan Belia sebelum ditambah baik dan dikenali  program Insentif Generasi Muda Selangor (iGems) pada November lalu .

“Sejak ditambah baik, iGems terima lebih 1,000 pasangan belia yang mendaftar dan menerusi program tersebut mereka diberikan ilmu pengetahuan seperti kursus keibubapaan, kewangan dan cara menangani tekanan dalam keluarga.

“Pasangan juga diberi sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional RM300,” katanya selepas Pelancaran iGems  di Kelab Rahman Putra di sini hari ini.

Katanya, iGems dilaksana sepenuhnya oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Pasangan belia yang berminat boleh mendaftar atas talian dengan melayari laman sesawang igems.yawas.my/admin/online.

Antara syarat penyertaan, pasangan telah berkahwin dalam tempoh enam bulan, perkahwinan kali pertama sewaktu permohonan, berusia 40 tahun dan ke bawah.

Pemohon juga mesti warganegara Malaysia, lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun di negeri ini.