250,000 layak nikmati Skim Air Darul Ehsan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 250,000 pemegang akaun meter individu layak menikmati bantuan air percuma menerusi Skim Air Darul Ehsan, kata EXCO infrastruktur.

“Awalnya, pada 15 Julai lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan 184,020 pemegang akaun meter individu layak menerima bantuan berkenaan.

“Namun selepas mengambil kira penduduk rumah pangsa kos rendah dalam kategori meter pukal yang secara automatik layak mendapat air percuma di bawah SADE, jumlah itu meningkat kepada 250,000,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Izham yang juga memegang portfolio kemudahan awam berkata sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 226,969 permohonan bantuan itu diterima.

Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 15,625 tidak dapat diproses pendaftarannya ke dalam Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR).

“Antara sebab gagal diproses ialah, nombor kad pengenalan, nombor meter air dan nombor telefon telah digunakan oleh pemohon lain.

“Pada masa sama, maklumat permohonan yang tidak lengkap seperti tidak kemukakan nombor kad pengenalan, alamat emel, nombor akaun air, alamat kediaman atau premis dan maklumat pasangan,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Kerajaan Negeri melakukan semak silang menggunakan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kategori Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi memastikan kesahihan permohonan berdasarkan kepada kelayakan jumlah pendapatan di bawah RM4,000.