SITEC anjur program latih usahawan digital

KLANG, 22 OGOS: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) menganjurkan hampir 100 program sejak 2015 bagi membantu usahawan menceburi perniagaan digital, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata program itu sebagai inisiatif mengubah bentuk perniagaan tradisional kepada usahawan dalam talian.

“SITEC juga berjaya melatih lebih 550 usahawan di Selangor melalui program Online 100 dan Apps 100.

“Mereka yang mengikut program ini diberikan pendedahan memasarkan produk mereka di platform Lazada, Shopee dan youbeli.com,” katanya.

Terdahulu, Chang Khim merasmikan siri kedua program Usahawan Digital Selangor 2020 yang mendapat kerjasama Lazada, Shopee, Boost, Avana, Ninja Van, Bungkusit, Hijrah Selangor dan Youbeli.

Dalam program terbabit, 200 usahawan sekitar Lembah Klang menyertainya bagi mendapat pendedahan berhubung dunia e-dagang.

Program yang sebelum ini berlangsung di Bangi pada awal tahun ini diteruskan di tiga lokasi iaitu Ampang, Gombak dan Kuala Selangor.