UCAPAN PENERIMAAN JAWATAN
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, pada 6 Syawal 1439H, bulan yang sarat dengan keberkatan dan nikmat llahi, saya dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16.

Saya menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj lbni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor Darul Ehsan yang telah memberi kepercayaan serta menaruh keyakinan ke atas diri saya demi menggalas amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Sesungguhnya, pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan kepada mandat rakyat khususnya kepada generasi muda. Maka, dengan penuh rasa insaf dan tawaduk, saya menerima pelantikan ini dengan tekad untuk meneruskan kecemerlangan negeri Selangor.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali yang telah meletakkan asas kecemerlangan yang kukuh. Walaupun beliau hanya berkhidmat selama tiga tahun lapan bulan, namun beliau telah membawa gelombang yang begitu besar sehingga namanya terukir dalam sanubari rakyat Selangor untuk selama-lamanya.

Sesungguhnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali merupakan seorang Dato’ Menteri Besar yang terkenal cemerlang, berwawasan, berintegriti dan dikasihi Tuanku Sultan serta disanjungi rakyat Negeri Selangor. Tetapi saya tidak melihat hakikat ini sebagai halangan terhadap misi saya dalam menerajui pentadbiran negeri. Malahan, saya merasa amat bertuah kerana dengan track record beliau yang begitu outstanding dan luar biasa, saya terdorong untuk melaksanakan yang terbaik menggunakan kejayaan beliau sebagai penanda aras.

Saya berikrar untuk memastikan kesinambungan pentadbiran yang cemerlang dan melonjakkan Negeri Selangor ke tahap seterusnya demi membangun bangsa dan memakmur negeri.

‘No Man Is An Island’. Mengemudi pentadbiran negeri tentunya memerlukan kerjasama semua pihak dan team-work yang berpaksikan esprit de corps yang utuh dan dinamik. Justeru, saya akan mengembleng kerjasama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh anggota perkhidmatan awam negeri Selangor demi merealisasi segala dasar dan inisiatif berpaksikan prinsip peduli rakyat.

Berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan prinsip Raja Berperlembagaan, pentadbiran ini tuntas memastikan kedudukan orang Melayu, warisan Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan terus dijamin. Selaras dengan dasar kesederhanaan, keadilan dan keharmonian, Kerajaan Negeri bertekad melindungi hak semua kaum dan agama. Semangat rakyat Malaysia yang sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, demokrasi berparlimen dan peranan institusi Raja-Raja telah berjaya mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara ini. Justeru, semangat perpaduan dan muhibah perlu terus disemarakkan dalam kalangan rakyat.

Pentadbiran negeri akan memberi keutamaan terhadap keperluan perumahan rakyat, perkhidmatan kesihatan yang bersepadu, sistem pengangkutan yang berkesan, kelestarian alam sekitar dan peluang pekerjaan yang berkualiti. Pentadbiran ini akan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan matlamat ini tercapai.

Saudara dan saudari sekalian,

Negeri Selangor adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan juga merupakan antara destinasi pelaburan utama dalam Malaysia. Sebagai peneraju kepada knowledge economy Selangor mempunyai 150 institusi pengajian tinggi yang melahirkan 40 ribu graduan setiap tahun. Selangor mempunyai jaringan infrastuktur dan logistik yang luas, pengangkutan yang mantap dan mapan seterusnya memacu high tech and high impact industrial base, di samping menjadi pintu masuk utama ke Malaysia. Dengan segala kelebihan dan kekuatan ini, Selangor adalah aktor rantau Asia Tenggara.

Pentadbiran sebelum ini telah menggerakkan inisiatif Smart Selangor yang berhasrat menjadikan negeri ini sebagai Regional Smart State iaitu negeri pintar serantau. Kejayaan gagasan ini akan menjadi jambatan buat Selangor menerokai peluang untuk menjalinkan hubungan geo-strategik di Asia Tenggara.

Saudara dan saudari sekalian,

Secara peribadi, saya ingin menyatakan rasa syukur dan amat bertuah kerana dianugerahkan sebuah keluarga yang senantiasa menyokong saya di waktu susah mahupun senang terutamanya ibunda dan ayahanda, juga Diana yang senantiasa di samping saya.

Akhirul kalam, kepada kaum muslimin dan muslimat saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin dan kepada semua rakyat Selangor, marilah kita maju bersama membangun Selangor yang gagah dan berdaulat.

Sekian, terima kasih dan Wasalam.

YAB DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor
20 Jun 2018 / 7 Syawal 1439H