Blog

Teks Ucapan Perbahasan RMK-11 Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

25 Mei 2015
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Allah yang sentiasa mendengar dan melihat.

Allah yang sentiasa tahu apa yang tersurat lagi tersirat. Allah yang akanmenyoal serta mengadili segala amal perbuatan insan. Tidak ada apa yang boleh disembunyikan kerana tidak ada apa yang mampu terlepas dari pengetahuan yang Maha Esa.

Selawat dan Salam kepada Junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW pembawa Rahmat seluruh Alam, penggerak islah atau pembaharuan risalah sejagat, pendukung prinsip Keadilan dan Hikmah dalam segala urusan, pembina Khairatun Ummah– umat terbaik serta Ummat ul-Wasata – umat pertengahan, penunjuk kaedah meletakkan keutamaan agar tujuan syariah dan sinar Islam dapat diterjemahkan sepanjang zaman.

Allah Berfirman dengan maksudnya: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu​.” [Surat Al-Baqara 143]

Saya dengan tawadhu’ nya berdiri insaf menggantikan pemimpin rakyat dan pencetus ‘islah atau pembaharuan negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan yang mulia ini, untuk membahaskan bagi pihak rakyat teramai 52 peratus – satu Usul Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibentangkan Perdana Menteri, 21 Mei lepas.

Tuan Yang diPertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat,

MANUSIA MERANCANG, ALLAH MENENTUKAN

1. Berbagai dokumen semenjak kemerdekaan melibatkan Perancangan Pembangunan Negara daripada RMK 1-11, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional ,Wawasan 2020, Dasar Transformasi Negara dan Bajet-Bajet Tahunan telah dibentangkan di dalam Dewan ini oleh enam (6) Perdana Menteri.

2. Salah satu perkataan yang mendasari semua dokumen-dokumen ini adalah ‘Perancangan’. Dan kita pula diperingatkan lagi oleh Perdana Menteri, ‘kemampuan manusia merancang, amat terbatas, kerana sebaik-baik Perancang adalah Tuhan seru sekalian alam.’

10645052_588144484622165_8120569301892504958_n3. Persoalannya adalah Apa dan Bagaimana ‘Perancangan’ itu dibuat agar bukan sahaja diberkati, dirahmati tetapi akan ditunaikan dengan izin yang Maha Kuasa. Perancangan yang dibuat secara telus, efisyen, inklusif, berintegriti dengan kepakaran sewajarnya – dan bila mana dirancangkan serta dirangkakan secara jujur ikhlas dengan niat demi kepentingan dan keutamaan rakyat – insya Allah akan mendapat restu yang Maha Adil.

4. Rakyat menyaksikan berbagai cogankata, model-model, unjuran-unjuran sasaran ekonomi, janji-janji, kempen-kempen serta seruan untuk rakyat berusaha gigih menjayakan hasrat ‘tersurat’ rasmi tetapi sebaliknya apa yang ‘tersirat’ adalah nyata untuk kepentingan segelintir golongan elit mengakibatkan RMK-RMK tersasar dan hutang negara menggunung.

5. Kepentingan rakyat diabaikan apabila dengan nyata sekali GST tetap dilaksanakan walaupun rakyat teramai belum bersedia dan kita masih di tahap negara berpendapatan sederhana.

6. Sudah terang lagi bersuluh apabila ketirisan, pembaziran serta aliran wang haram yang semakin hari semakin berganda mencecah bertrillion ringgit seperti dilaporkan oleh Ketua Audit Negara atau laporan antarabangsa Global Financial Integriti.

Ini menjadi tanda tanya yang belum terjawab mahu pun diperjelaskan seperti penjelasan sepenuhnya mengenai 1MDB yang masih kita tertunggu-tunggu.

7. Oleh demikian, sudah tiba masanya kita bermuhasabah kerana ini adalah Lap atau Pusingan 5 tahun terakhir atau disebut sebagai ‘Lonjakan Akhir’ sebelum tiba garis penamat tahun 2020 yang diwawasankan untuk kita menjadi sebuah Negara berpendapatan tinggi.

8. Jika kerajaan benar-benar beriltizam dan berniat mahu menjayakan impian rakyat, maka prinsip-prinsip berikut wajib menjadi amalan dalam membuat ‘Perancangan’ agar dianugerah ‘Ketetapan’ oleh yang Maha Kuasa. Memang benar, manusia merancang, Allah tentukan.

9. Prinsip Utama adalah wajib ada Tata Kelola Pemerintahan Baik (Good Governance) dalam Pengurusan dan Pembangunan Negara seperti berikut –

● Objektif Pembangunan Inklusif – Manfaat dinikmati semua
● Proses Perancangan Telus – dengan penglibatan pihak berkepentingan
● Pelaksanaan Efisyen – Bebas-Rasuah, Bebas-Ketirisan dan Bebas-Pembaziran
● Pemantauan Rapi – Cepat, Tepat dan Benar
● Penilaian Pencapaian Jujur – Impak kepada Rakyat jelas tercapai

10. Sudah tentu Prinsip Tata Kelola Pemerintahan Baik, yang menjamin, dan melindungi kepentingan rakyat, akan terlaksana apabila dipaksikan kepada amalan demokrasi seperti prinsip pemisahan kuasa, proses timbang-tara (checks and balances), Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan.

Tuan Yang Dipertua,

11. Seandainya, RMK-11 tidak berpaksikan demokrasi, kita khuatir RMK-11 yang sedang dibahaskan akan gagal dan ini akan menambahkan lagi ‘Kehilangan Potensi KDNK Malaysia’ (Malaysia GDP Potential Loss).

12. Sebagai rujukan bersama – mengikut satu laporan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) menjangkakan potensi pertumbuhan KDNK Malaysia adalah 505 peratus atau 5 kali ganda dari tahap sekarang – jika kualiti pendidikan Negara tinggi dan terjamin.

(Dengan Izin)

The study on global school rankings by the Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) estimates Malaysia’s growth potential at 505 per cent of its current GDP, indicating a direct correlation between education and economic growth.

The report, jointly written by Stanford University’s Eric Hanushek and Ludger Woessman of Munich University, said that a country’s standard of education is a “powerful predictor of the wealth that countries will produce in the long run”.

It also warned that countries that maintain poor education policies and practices will remain in a “permanent state of economic recession”.

13. Malangnya, penilaian prestasi kualiti pendidikan Malaysia seperti yang dilaporkan kajian PISA, meletakkan tahap pelajar-pelajar yang berumur lima belas (15) tahun atau tingkatan tiga (3) kita setaraf dengan pelajar darjah 5 Singapura dan darjah 6 Vietnam.

IPTS14. Ranking Universiti kita pula yang terbaik adalah pada anak tangga 151 untuk Universiti Malaya, manakala UKM pada anak tangga 259, berdasarkan QS World University Rankings 2014/2015.

15. Di mana silap kita? Apabila pendidikan dipolitik dan didagangkan, apabila kebebasan akademik disekat dan apabila mahasiswa dirantai AUKU – yang untung siapa dan yang rugi siapa?

16. Apabila ditambah lagi faktor penyebab ‘Kehilangan Potensi KDNK Malaysia’ dengan kajian oleh Pengarah Eksekutif Stewart Forbes daripada Malaysian International Chamber of Commerce and Industry yang mendapati bahawa tahap produktiviti Malaysia berbanding Korea Selatan adalah 19 tahun ketinggalan kebelakang; setaraf tahap produktiviti Korea Selatan pada tahun 1995 – menjadikan kita rasa terpedaya dengan hala tuju negara yang dilaungkan.

17. Seperti yang pernah dihuraikan mantan Ketua Pembangkang Saudara Anwar Ibrahim dalam Agenda Ekonomi Malaysia (Malaysia Economic Agenda) pada 2008, bahawa jurang KDNK antara Malaysia dan Korea Selatan yang pada tahun 1970 adalah hampir setaraf khususnya apabila Malaysia dengan KDNK per kapita sebanyak USD400 mengatasi Korea Selatan dengan USD290, pada hari ini telah jauh ketinggalan apabila untuk 2014 Korea Selatan yang tiada sumber asli seperti petroleum mendahului Malaysia sebanyak USD23,892 berbanding USD6,990; iaitu melebihi 340 peratus atau 3.4 kali ganda.

18. Proton dan Hyundai dilahirkan sekitar abad yang sama. Satu hanya ‘jaguh kampung’ dan satu lagi pula sudah menjadi juara dunia.

19. Ini bermakna, jika wujudnya Tata Kelola Pemerintahan Baik berpaksikan Demokrasi Tulen (Good Governance based on True Democracy) dari RMK-1 lagi, maka kita boleh andaikan bahawa, KDNK per kapita rakyat Malaysia adalah USD35,000 dan bukan USD6,990 sekarang.

20. Dengan KDNK per kapita USD35,000 dan bukan USD6,990 – sudah tentu ia memenuhi matlamat yang disebut YAB Pekan – ​‘sasaran sosio ekonomi yang lebih saksama, sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama’​.

21. Di mana silap kita? Apabila peluang ekonomi di politikkan, apabila ketirisan, rasuah dan pembaziran telah menafikan rakyat untuk menikmati gaji lumayan sebaliknya rakyat dibebankan pula dengan beban kos sara hidup yang menghimpit – yang untung siapa dan yang rugi siapa? Adakah kitaperlukan RMK-12, 13, 14 dan 15 lagi untuk mencapai Potensi KDNK yang tinggi?

Tuan Yang diPertua,

STRATEGI TEPAT MEMBAWA KEJAYAAN; MENYEMAI DULU BARU MENUAI KEMUDIAN

22. Malaysia masih dalam Perangkap Negara Berpendapatan Sederhana (Middle Income Trap). Untuk kita keluar dari perangkap ini, semestinya kita merancang dan melaksanakan pembangunan negara dengan ‘Strategi Transisi Berpendapatan Sederhana’ (Middle Income Transition Strategy) seperti yang disarankan Michael Spence, pemenang hadiah Nobel dalam bidang Sains Ekonomi.

23. Input-input utama strategi ini adalah pendidikan berkualiti, penyelidikan bernilai tinggi dan urbanisasi mampan (education, research and urbanisation) yang dapat menjana pertumbuhan pesat.

24. Penstrukturan utama strategi ini adalah untuk menjamin wujudnya persaingan dan bukan monopoli atau dasar-dasar pengherotan pasaran (market distortion) dalam aktiviti ekonomi mikro. Pasaran yang wajib menentukan industri dan perniagaan mana yang berjaya dan mana yang gagal tidak boleh diselamatkan dengan ‘Bailout’ atau dilindungi dengan monopoli.

25. Dan faktor penentu kejayaan strategi ini adalah Tata Kelola Pemerintahan Baik yang berpaksikan Demokrasi.

26. Nyata sekali kita gagal membina asas ekonomi yang produktif serta mampu bersaing dan bukan hanya bergantung kepada projek-projek infrastruktur mega yang menguntungkan segelintir mereka yang terpilih.

27. Perancangan atau lebih tepat sekali Pelaksanaan Perancangan Ekonomi perlu mengikut Ketertiban dan Keutamaan yang sewajarnya (appropriate sequence and priority). Seperti petani, kita mesti menyemai baru boleh menuai.

28. Sepatutnya kita bermula dengan RMK-RMK sebelum ini untuk menyemai benih-benih pendidikan berkualiti, penyelidikan bernilai tinggi dan urbanisasi terlebih dahulu. Sekarang pada RMK-11 kita sudah patut menuai hasil yang begitu lumayan, seperti yang disebutkan tadi dengan KDNK per kapita 5 kali ganda iaitu USD35,000 bukan USD6,990 seperti hari ini.

29. Kehilangan Potensi KDNK Malaysia sebanyak 5 kali ganda menjadi bukti bahawa, pelaksanaan RMK selepas Krisis Ekonomi Asia 1997/1998, gagal berpegang kepada 3 faktor Strategi Transisi Ekonomi Berpendapatan Sederhana iaitu:

● Pelaburan berganda untuk pendidikan berkualiti, penyelidikan bernilai
tinggi dan urbanisasi mampan.
● Penstrukturan ekonomi mikro untuk persaingan terbuka.
● Tata Kelola Pemerintahan Baik berpaksikan Demokrasi.

Tuan Yang diPertua,

RMK-10 HARAPAN BERKECAI; MATLAMAT TERSASAR RAKYAT DIHAMPAKAN

30. Sebelum kita meneliti RMK-11 adalah wajar kita menilai kembali RMK-10 terlebih dahulu. Dua perkara pokok yang kita boleh lihat yang menggagalkan pencapaian sepenuhnya RMK-10 adalah ketiadaan ‘Kayu Pengukur’ yang Tepat untuk memastikan Dasar-Dasar yang Tepat (The Right Measurements to make the Right Policies) dan kelemahan Tata Kelola Pemerintahan Baik berpaksikan Demokrasi (Good Governance).

RMK-1131. Kita masih ingat lagi bahawa RMK-10 diasaskan dengan Model Ekonomi Baru dan Dasar Transformasi Negara yang dipandu arah katanya oleh PEMANDU. Berbagai akronim GTP, ETP dan PTP telah memberikan harapan tinggi kepada rakyat. Ini adalah apa dikatakan sebagai akronim ‘tersurat’.

Tetapi apabila akronim 1MDB muncul disusuli akronim GST, harapan rakyat dihampakan kerana ini menjadi simbol atau akronim ‘tersirat’ – agenda sebenar RMK-10.

32. Ketika RMK-10 dilancarkan satu iklim politik baru dapat dirasa badainya apabila permulaan yang baik untuk demokrasi melalui pemansuhan Akta ISA, janji menghapuskan Akta Hasutan dan pelancaran agenda Wasatiyah atau Kesederhanaan telah mengangkat tinggi harapan rakyat untuk satu perubahan baru.

33. Tetapi sinar cahaya demokrasi ini pula malap apabila awan-awan gelap otokrasi, penjenamaan semula ISA dengan POTA, pewajahan baru Akta Hasutan dengan pindaan drakonian, pendakwaan terpilih serta pemenjaraan patriot-patriot demokrat dan terpadamnya Wasatiyah menghadapi tuntutan suara perpecahan pelampau – sekali lagi menghancurkan harapan rakyat yang dahagakan pembangunan inklusif bukan politik eksklusif yang anti-demokratik untuk membangunkan negara.

Tuan Yang diPertua,

RMK-10 Sasaran Pertumbuhan Ekonomi Tersasar

34. Kita mulakan penelitian RMK-10 dengan melihat prestasi kadar pertumbuhan KDNK yang menjadi Pengukur Utama. Pada empat daripada lima tahun di dalam RMK-10, pencapaian adalah dibawah sasaran 6%.

Tahun-tahun ini adalah 2011 pada kadar 5.1%, 2012 pada kadar 5.6%, 2013 pada kadar 4.7% dan 2015 yang dianggarkan BNM sendiri pada 4.5%.

35. Berdasarkan prestasi ini, agak sukar untuk Malaysia mencapai sasaran Pendapatan Kasar Nasional (GNI) sebanyak USD 15,000 pada tahun 2020.

Berdasarkan analisa oleh Dr Lee Hwok Aun daripada Universiti Malaya, Malaysia perlu mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 7.7% setahun untuk lima tahun mendatang ini untuk mencapai sasaran GNI tersebut.

Sebagai perbandingan, negara China paling pesat membangun di dunia, hanya mencatatkan kadar purata 7.2% semenjak 2014 sehingga kini.

36. Pakar Ekonomi terulung yang juga menjadi penasihat kepada Bank Negara Malaysia, Dr Yeah Kim Leng yang juga Dekan Fakulti Perniagaan, Malaysia University of Science and Technology, berpendapat hasrat Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi bakal tergugat dalam keadaan kadar inflasi dan kadar faedah pinjaman yang tinggi.

Kenaikan harga barangan akibat GST dan juga kenaikan kadar faedah pinjaman akibat pengukuhan kadar faedah Dollar Amerika Syarikat boleh menyumbang kepada risiko ini.

37. Pengerusi United States Federal Reserve, Puan Janet Yellen juga telah membayangkan pengukuhan Dollar Amerika Syarikat akibat kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat.

Ini bakal menyebabkan penurunan harga komoditi antarabangsa dan juga penyusutan nilai matawang ringgit berterusan. Ini perlu diambil kira dalam RMK-11 kerana akibat faktor-faktor luaran yang dijadikan alasan tersasarnya KDNK RMK-10.

Memang benar ‘manusia merancang, Allah tentukan’; tetapi bukan kah pakar-pakar PEMANDU dan perunding-perunding antarabangsa seperti McKinsey, AT Kearney, Boston Consulting dan lain-lain, dari dalam dan dari luar negara sepatutnya merancang dengan lebih teliti menggunakan kaedah-kaedah pembangunan ekonomi yang sedia ada termasuk menggunakan analisa risiko dan unjuran sewajarnya?

38. Dan apabila TPPA – Trans Pacific Partnership Agreement, satu perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dengan 12 buah negara termasuk Malaysia yang bakal ditandatangani selepas Senat Amerika meluluskan kuasa ‘Fast Track’ kepada Presiden Obama mesti juga diambil-kira kesan yang negatif kepada rakyat kerana laporan Cost-Benefit yang dijanjikan kerajaan begitu lama akan hanya dibentangkan ke Parlimen pada Julai depan untuk penelitian.

Laksana TPPA 0139. Demi menjamin ekonomi negara dan RMK-11 tidak tergugat oleh TPPA, adalah dicadangkan agar Kaukus TPPA segera dinaik taraf kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen dan kuasa meratifikasikan perjanjian ini diserahkan kepada Parlimen.

40. Sekali lagi pihak kerajaan pimpinan Barisan Nasional langsung tidak
mengambil kira faktor-faktor luaran ini yang bakal memberikan kesan kepada
kadar pertumbuhan ekonomi negara. Sikap acuh tak acuh dalam merangka
pelan jangkamasa panjang sebegini amatlah berbahaya bak kata Benjamin
Franklin –“If you fail to plan then you are planning to fail”.

Tuan Yang diPertua,

RMK-10 Sasaran Latihan Kemahiran Tersasar

41. Jika faktor-faktor luaran atau ‘externalities’ yang dikatakan adalah luar kawalan kita menjadi alasan tersasar kadar pertumbuhan KDNK, maka sasaran latihan kemahiran yang berada di dalam kawalan kita, tidak sepatutnya tersasar juga.

Perlu diingatkan bahawa latihan kemahiran yang menjadi sebahagian pendidikan adalah salah satu faktor input utama yang menjadi penanda aras potensi pencapaian status negara Berpendapatan Tinggi.

42. Sasaran RMK-10 ini telah gagal dicapai sepenuhnya walaupun skim latihan vokasional dan kemahiran juga telah dirancang. Dikatakan bahawa tenaga kerja sedia ada dapat ditingkatkan menerusi latihan kemahiran dalam RMK-10 dengan sasaran 33% tenaga kerja terlatih. Malangnya pencapaian sebenar hanyalah sebanyak 25%.

43. Teramat jelas kita telah gagal mencapai sasaran tenaga kerja terlatih dalam RMK-10. Namun begitu, lain pula kisahnya pada tenaga kerja tidak terlatih (terutamanya pekerja asing dengan izin dan tanpa izin), di mana kerajaan telah melangkaui sasaran yang ditetapkan sepanjang program RMK.

Pada tahun 1992, 500 ribu orang pekerja asing; tahun 2011, 1.6 juta; dan pada lewat 2014, Menteri Sumber Manusia sendiri telah memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa terdapat 2.1 juta tenaga kerja asing yang telah direkodkan dan 4.6 juta tenaga kerja asing yang tidak direkodkan, menjadikan sejumlah 6.7 juta orang kesemuanya.

44. Fakta ini penting kerana sebarang dasar baru untuk mengurangkan kesenjangan pendapatan, pertambahan peratusan gaji kepada GDP, kenaikan gaji minima dan pengurangan kemiskinan, kesemuanya, sukar untuk ditangani dengan berkesan apabila angka sebenar jumlah pekerja asing di negara ini pun tidak diketahui dengan tepat.

RMK-10 Sasaran Pegangan Ekuiti Bumiputera Sektor Korporat Tersasar

45. Sasaran RMK-10 adalah 30% dan nampaknya sasaran ini masih belum tercapai walaupun telah diulang berkali-kali oleh pihak UMNO-BN sepanjang 20 tahun yang lalu sebagai matlamat perdana dasar ekonomi.

Setelah gagal selama 20 tahun, perancangan dan pendekatan baru harus diambil untuk memastikan sasaran ini dicapai. ​You cannot get new results or outcomes using same old ways.

46. Pada tahun-tahun terakhir RMK-10 kita dapati warisan strategi lama lagi lapuk untuk memilih individu-individu bumiputera tertentu sebagai penerima bantuan dan habuan kerajaan masih berjalan. Tetapi kali ini bukan ramai individu bertuah tetapi nampaknya, hanya beberapa bumiputera sahaja yang terpilih.

Mustahil untuk kita capai sasaran 30% ini selagimana kapitalisme kroni terus segar di negara ini. Sudah tentu ini bukan Ekonomi Inklusif yang dijaja tetapi Ekonomi cukup Eksklusif yang disengaja.

47. Pelbagai kajian termasuk kajian Thomas Piketty dalam nukilan beliau ‘Capital in the 21st Century’ menunjukkan bahawa pelaburan dalam pasaran saham adalah salah satu cara terbaik untuk menambahkan pegangan ekuiti serta mengurangkan kesenjangan pendapatan.

48. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat membangunkan 300,000 buah keluarga bumiputera dengan pegangan ekuiti yang bertambah setiap tahun berbanding dengan 30 individu bumiputera yang sama yang terus kaya dan mengaut kebanyakan kekayaan negara.

Lebih baik kita mengadakan ‘siling’ bagi bumiputera yang sudah mencapai kekayaan RM20 juta, untuk mereka berdikari dan bukannya terus bergantung kepada projek kerajaan.

49. Lebih afdal lagi jika prinsip ‘Needs-Based’ dan bukan ‘Race-Based’ affirmative action yang lebih Inklusif seperti yang pernah disarankan Saudara Anwar dari dulu lagi terutamanya melibatkan golongan bawahan 40% isirumah diperluaskan untuk sebarang skim saham.

50. Sekadar disini penilaian kembali RMK-10 yang bertumpu kepada perkara-perkara tunjang dalam perancangan pembangunan negara.

Tuan Yang diPertua,

RMK-11 DITELITI KERANA RAKYAT MENANTI APA DIJANJI MESTI DITEPATI

51. RMK-10 telah gagal mencapai seluruh sasarannya dan saya bimbang sekiranya sasaran RMK-11 yang juga merupakan ‘final lap’ kita sebelum 2020 gagal dicapai.

Kebimbangan ini amatlah berasas kerana RMK-11 ini akan juga diterajui oleh para pimpinan, para perunding tempatan dan asing, yang kesemuanya pernah bertanggungjawab merancang dan melaksanakan RMK-10 yang kaya akronim tapi miskin pencapaian.

52. Saya akan mengemukakan kebimbangan utama saya pada setiap bab yang dicadangkan dalam RMK-11 seperti berikut:

Bab 1: Pertumbuhan berpaksikan rakyat

53. Kerajaan mestilah ikhlas dan jujur dalam mengemukakan angka-angka statistik pembangunan kepada rakyat. Pembentangan RMK-11 telah dimulakan dengan melihat kepada angka-angka tahun 1970 yang dibandingkan dengan tahun 2015.

Benar, terdapat beberapa pencapaian yang boleh dibanggakan berdasarkan angka-angka tersebut, namun, realiti sebenar di kalangan rakyat terbanyak di desa mahupun di kota amatlah jauh berbeza.

54. Kita amat menghargai enam teras strategik dan enam pemacu perubahan yang dibentangkan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Namun begitu, kita mempersoalkan adakah enam teras dan pemacu ini benar-benar mampu memastikan pencapaian sasaran ini?

Bab 2 : Memperkukuhkan daya tahan ekonomi makro untuk pertumbuhan mampan

55. Saya meneliti soal kutipan GST dengan penuh kebimbangan. Lebih setahun yang lalu YAB Pekan ada memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa GST akan hanya menambah pendapatan kerajaan sebanyak RM 690 juta.

bantah-gst56. Anehnya, dalam Bab kedua ini, YAB Pekan telah menyatakan bahawa asas percukaian negara telah diperkukuhkan kerana kerajaan dijangkakan akan mengutip RM 31.4 billion dari GST setahun untuk 5 tahun mendatang.

Dalam kata lain, sekurang-kurangnya RM 155 billion bakal dikutip daripada rakyat menerusi GST selama 5 tahun ini. Kenapa wujud perbezaan ini dan saya amat berharap agar pihak kerajaan dapat memaklumkan kepada rakyat penggunaan sebenar daripada kutipan GST ini.

57. Dikatakan juga bahawa inflasi akan menyusut pada kadar kurang daripada 2 hingga 3% pada tahun 2015. Tetapi ini bukan yang rakyat dapati apabila kita pergi ke pasar.

58. Berkaitan pelaburan, YAB Pekan melaporkan bahawa pelaburan sektor swasta kekal kukuh. Kita gagal melihat bukti sebegini dan kita mohon agar pihak kerajaan mendedahkan keadaan makro ekonomi sebenar terutamanya sektor pelaburan dan memperincikan portfolio pelaburan green field, brown field, hot money, paper money dan entiti wang bukan tunai 1MDB yang dipanggil ‘unit’.

Bab 3: Memperkukuhkan inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama

59. Tahniah, kerana cuba membantu golongan yang dinamakan B40 – Bawah 40% ini, tapi saya mohon digunakan istilah yang lebih baik kerana mereka ini juga rakyat dan perlu dikelaskan dengan istilah yang lebih bermaruah dan bukannya dengan istilah seumpana ubat ataupun vitamin.

Dan mengapa kita tidak juga kembangkan kepada golongan kelas menengah sebagai M40 – Menengah 40%, golongan atasan A19 – Atasan 19% dan golongan paling kaya sebagai PK1-Paling Kaya 1%? Nampaknya minat atau kepesonaan kepada akronim masih segar menyubur.

60. Kita harus dapat melihat wajah sebenar rakyat disebalik istilah B40, ‘we must put a face to these acronyms’. Jadi konsep Inklusif mesti berasaskan Empati – memahami dan menyelami sanubari setiap rakyat tidak kira kaum atau agama – kerana Empati melahirkan kesedaran sejagat bahawa kita semua sama, kita semua manusia.

Oleh itu kemanusiaan mesti menjadi nilai membina perpaduan nasional paling teratas. Secara mudah adalah dengan menyatakan bahawa ‘Orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asal dan ramai lagi kaum di Malaysia yang berbagai ini semua sama.

Semua nak makan, semua nak rumah, semua nak kenderaan, semua nak pendidikan, semua nak aman, semua nak kemajuan kerana kita sama, kita semua manusia ciptaan tuhan.

61. Sebelum kita mahu menaikkan tahap pendapatan dan kekayaan isi rumah B40, kita harus mengkaji tahap sebenar permasalahan ini. Kita wajib melihat dua perkara iaitu Pertama, Kesenjangan Kekayaan dan Pendapatan (Wealth and Income Inequality) yang cukup melebar.

Kedua, menggunakan kayu ukur atau ‘measurement’ yang sewajarnya agar penghapusan kemiskinan tegar dan relatif tercapai. Sekiranya kerajaan terus menggunakan garis kemiskinan yang rendah, maka jumlah sebenar akan kekal rendah.

Walau bagaimanapun kita menyambut baik satu permulaan akhirnya untuk menggunakan Multi-Dimensional Poverty Index (MPI) dalam RMK-11 kelak yang sudah lama dicadangkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

62. Nisbah kadar pendapatan bulanan antara B40 dan Atasan 20 peratus adalah 5.6 kali ganda iaitu pada tahun 2014 – B40 dengan RM2,537 berbanding Atasan 20 peratus RM14,300 sebulan – dan bila dilihat dengan beban 6% GST ke atas 80 % lebih pendapatan digunakan untuk perbelanjaan kos sara hidup bulanan – realiti rakyat menjadi lebih jelas sebalik istilah B40 ini.

63. Seperti yang disebutkan di awal tadi, bahawa negara kita sudah pun Kehilangan Potensi KDNK Negara sebanyak 505% atau 5 kali ganda akibat perancangan dan pelaksanaan pembangunan negara yang tersasar kerana tidak berpandu kepada Strategi Transisi Ekonomi Berpendapatan Sederhana serta kelemahan Tata Kelola Pemerintahan Baik berpaksikan Demokrasi. Ini menjadi punca mengapa pendapatan isi rumah bulanan B40 adalah sekitar RM2,500 sekarang dan bukan RM12,500.

64. Kita wajib menggunakan ‘Kayu Pengukur yang Tepat untuk Merangkakan Dasar yang Tepat’ (The Right Measurements to make the Right Policy). Kerajaan ini terus menggunakan PLI (Poverty Line Income) pada tahap RM930 untuk Semenanjung, RM 1070 Sabah dan RM 990 untuk Sarawak.

Saya cadangkan pihak kerajaan untuk menggunapakai indeks Selangor di bawah Pakatan Rakyat, pada tahap RM 1500 sebulan. Sabah pula sepatutnya RM 1800 dan Sarawak RM 1600. Ini akan memberikan gambaran yang lebih jelas agar dasar-dasar yang dirangkakan tepat kena pada sasaran dan bukan seperti lazimnya, asyik tersasar.

65. Untuk membantu golongan B40, kita mencadangkan menggunakan pendekatan konsep “Total Affordability” atau “Kemampuan Menyeluruh”. Pendekatan ini akan memberikan cara yang lebih berkesan untuk mengukur dan mengimplimentasi kemudahan awam dan perkhidmatan kerajaan kepada kumpulan sasar.

Sebagai contoh, agak sukar gologan B40 untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk rumah. Pembinaan rumah mampu milik di kawasan yang agak murah dengan jaringan pengangkutan awam (transportation connectivity network) yang baik akan membantu golongan ini berjimat dan seterusnya mempunyai lebihan pendapatan.

Berbeda dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan perumahan PR1MA yang agak mahal di kawasan bandar dan tidak pula dilengkapi dengan ’transport connectivity’ yang baik akan terus menekan pendapatan golongan B40.

66. Lebih malang lagi B40 ibarat jatuh ditimpa tangga dalam pembuatan dasar apabila tidak ada sebarang perincian mengenai jumlah peruntukan yang bakal diberikan kepada golongan B40 ini, walaupun sejumlah RM 260 billion telah diperuntukkan kepada RMK-11. Saya ingin tahu apakah program-program yang bakal diwujudkan untuk membantu B40 dan berapakah peruntukan dan kos program tersebut.

67. Bagaimana pula dengan kenyataan bahawa kerajaan akan memantau dan menambahkan penguatkuasaan terhadap kenaikan harga barang akibat GST, sedangkan kerajaan yang bertanggungjawab akibat kenaikan tersebut? Tambah pula dengan isu bayaran cabotaj di Sabah dan Sarawak yang terus menekan rakyat di sana.

68. Kita juga amat terkesan dengan pendedahan bahawa RM 8.6 billion untuk Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Usahaniaga (TEKUN) yang telah diberi kepada sejumlah 413,278 orang usahawan bumiputera tidak mencapai sasaran melahirkan kelas pertengahan bumiputera.

69. Kita juga kurang faham bagaimana golongan B40 bakal dibantu menerusi skim Amanah Saham Wawasan dan Amanah Saham 1Malaysia sedangkan mereka tiada pendapatan lebihan untuk mereka melabur ke dalam skim-skim ini.

70. Begitu juga dengan REIT (Real Estate Investment Trust) yang dicadangkan untuk B40. Dimanakah logiknya golongan B40 ini digesa untuk melabur ke dalam satu derivatif tanpa pegangan aset fizikal yang juga mempunyai nilaian yang turun naik mengikut pasaran semasa dan tidak stabil. Ini seperti konsep wang ‘unit-unit’ 1MDB sahaja.

71. Bantuan untuk wanita, warga emas, OKU, kanak-kanak dan Orang Asal juga telah disebut dalam RMK-11 sebagai kumpulan sasar, kita harap dana akan diperuntukkan untuk golongan ini sampai kepada sasaran dan bukan tersasar seperti RMK-10.

Bab 4: Meningkatkan kesejahteraan rakyat

72. Kita juga menyokong kenyataan YAB Pekan untuk meningkatkan mutu dan pencapaian pasukan bolasepak negara yang berada pada tangga 164 sebagai membina kehidupan yang sihat dan memupuk perpaduan.

Malangnya bukan sahaja tahap bolasepak kita tercorot lagi mencorotkan. Malah ada senarai tercorot dalam banyak lagi bidang seperti pendidikan, rasuah, aliran wang haram yang harus diberikan penjelasan dan penyelesaian.

Tuan Yang diPertua,

73. Sebelum memasuki bidang politik yang cukup menarik dan mencabar, saya telah berkhidmat selama 14 tahun sebagai seorang doktor kerajaan dan walaupun kerajaan bersungguh ingin memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, mengapakah terdapat banyak pengurangan peruntukan kerajaan untuk sektor ini?

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengurangkan perbelanjaan untuk kesihatan memandangkan perkhidmatan ini mempunyai kesan dan hubungkait rapat dengan pembangunan ekonomi.

WHO 2012 mencatatkan bahawa Malaysia hanya memperuntukkan 4.4% perbelanjaan untuk perkhidmatan kesihatan berbanding negara seumpamanya pada 6 ke 7%. Jelas kita jauh ketinggalan dari piawaian dunia dan giat menswastakan sektor ini yang juga di GSTkan.

74. Selain itu, kerajaan harus mengekang usaha-usaha untuk menswastakan insititusi seperti Institut Jantung Negara, agar B40 – bawah 40% dapat manfaat juga dan bukannya hanya untuk mengkayakan kroni PK1 – Paling Kaya 1%.

75. Kita ambil maklum akan hasrat murni untuk memperbanyakkan CCTV di kawasan yang banyak jenayah, yang disambung terus kepada PDRM. Tetapi, saya juga ingin menegur pihak PDRM agar benar-benar fokus kepada tugasan memantau dan meneliti rakaman langsung CCTV tersebut dan bukannya fokus kepada twitter sahaja.

cctv mdkl2Untuk meningkatkan tahap keselamatan, kita harus menimbangkan untuk memasang Body Camera pegawai bertugas dan Dashboard Camera untuk setiap kereta peronda. Saya mencadangkan kepada YAB Pekan untuk ini dimasukkan dalam Bajet 2016 kelak. Kita akan setuju sebulat suara!

76. Pada masa yang sama kita terkejut dengan kemunculan semula Automated Enforcement System (AES) yang bakal diluaskan lagi penggunaannya dalam RMK-11.

Pihak yang memperkenalkan AES ini sudah mendapat habuan yang banyak tapi malangnya statistik nahas jalanraya masih lagi di tahap yang kurang memuaskan. Saya pohon pihak kerajaan menjelaskan keberkesanan saman AES yang lebih tinggi dan meluas akan dapat mengurangkan kadar kematian dalam nahas jalanraya?

Bab 5: Meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju

77. Banyak telah diperkatakan mengenai TVET (Technical Vocational Education Training) ketika RMK-10 dan seperti yang saya sebut tadi bahawa sasaran RMK-10 telah gagal dicapai sepenuhnya. Kelihatan seolah-olah pihak kerajaan akan mengambil sikap lepas tangan dengan menyerahkan program TVET ini kepada industri dan sektor swasta?

Adakah ini satu bentuk penswastaan pendidikan oleh sektor swasta? Sasaran RMK-10 untuk 33% pelajar vokasional juga tersasar kepada 25%.

78. Banyak telah dinyatakan tentang pencapaian universiti awam dalam kajian dan penerbitan. Namun begitu, isu kualiti dan kreativiti penerbitan dan kajian tersebut tidak pula dinyatakan.

Saya amat bimbang dengan kualiti graduan tempatan kita dan tahap employability​ yang bergantung kepada kemahiran insaniah. ​Mediocrity should not be celebrated​. Ini penting kerana kualiti graduan dapat menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan.

79. Merujuk kepada eksibit 5-8 dalam buku RMK-11 dan menggesa pihak kerajaan untuk menjalankan suatu kajian mengenai kadar pengangguran graduan tempatan kita untuk tempoh 1 ke 3 tahun selepas tamat pengajian.

Ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kualiti sebenar graduan tempatan kita. Saya juga merujuk kepada eksibit 5-7 di mana 65% daripada para graduan telah mendapat CGPA 3 ke atas, namun hanya 44% (rujuk eksibit 5-8) sahaja yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh 3 ke 6 bulan selepas tamat pengajian.

Ini mungkin bermakna bahawa piawaian CGPA kita adalah lebih rendah daripada biasa, ataupun graduan kita lebih tertumpu kepada kursus-kursus dalam industri yang semakin malap?

Tuan Yang diPertua,

Bab 6: Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan

79. Bab ini saya amat minati dan ianya banyak memaparkan warna rasmi rakan seperjuangan kita.

80. Kita ingin bangkitkan hanya satu isu iaitu isu ‘Energy-Mix’ Negara​. Sepanjang 4 ke 5 tahun lalu kita telah banyak mendengar ura-ura penggunaan tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik.

nuklearSaya meminta YAB Pekan untuk memberi jaminan kepada Parlimen bahawa tenaga nuklear tidak akan digunakan memandangkan kita masih lagi mempunyai rizab gas selama 42 tahun lagi. Janganlah kita mewariskan bahaya nuklear kepada generasi akan datang.

Bab 7: Memperkukuhkan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi

81. Tiada salahnya untuk kita memperbaiki keperluan logistik dan pengangkutan serta pembinaan infrastruktur berasaskan bandar pintar atau ‘Smart City’.

Jelas kesemuanya ini adalah komponen penting untuk memacu ekonomi negara untuk mencapai taraf negara maju. Mengenai kerangka kerja industri air di Selangor, kita amat berharap agar kesemua pihak dapat memuktamadkan perjanjian ini secepat mungkin.

82. Seterusnya kita juga bimbang dengan sumber dana untuk membiayai projek-projek infrastruktur dalam RMK-11 dan adakah proses tender akan dilakukan secara terbuka lagi telus? Berapakah projek yang akan dibiayai secara PPP (Public-Private-Partnership) dan PFI (Private Finance Initiative)?

83. Pembaziran, ketirisan dan kesilapan perancangan akan hanya merosakkan ekonomi negara. Model penswastaan dan pemberian lesen untuk Lebuhraya Bertol dan Penjana Kuasa Bebas (IPP) perlu disemak dan didedahkan kepada Dewan ini, kerana ia bukan sahaja membebankan B40 tetapi semua lapisan masyarakat yang membelanjakan jumlah yang besar untuk tol dan letrik.

Bab 8: Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran

84. Penstrukturan semula sektor-sektor industri utama sama ada dalam sektor minyak dan gas, pertanian dan peladangan untuk memacu pertumbuhannya amatlah dialu-alukan. Diharap isu mengurangkan penggunaan tenaga pekerja asing akan diberikan perhatian lebih serius.

85. Kita juga telah mendengar mengenai usaha memodenkan pertanian. Dana NFC yang sepatutnya meningkatkan keselamatan makanan dari RMK sebelum ini juga tersasar walaupun RM3 billion telah dibelanjakan untuk usaha memastikan bekalan makanan terjamin.

86. Sebagai wakil rakyat di Selangor dan Pulau Pinang saya amatlah kecewa dengan keputusan kerajaan untuk tidak memasukkan sebarang bandar dari kedua-dua negeri ini sebagai bandar kompetitif.

Shah AlamPetaling Jaya, Shah Alam dan George Town kaya dengan inovasi dan adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan cukai negara tetapi tidak pula diambil kira dalam RMK-11 sebagai bandar kompetitif. Ini adalah tafsiran Inklusif terpilih oleh kerajaan.

Bab 9: Mentransformasi perkhidmatan awam untuk produktiviti

87. Jika diteliti bab ini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk tidak lagi mengambil tenaga kerja baru dan juga akan mengurangkan tenaga kerja sedia ada. Pihak CUEPACS telah menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan isu ini.

88. Saya berpendapat bahawa tidak wajar tenaga kerja awam dikurangkan tatkala negara sedang dihimpit dengan kesukaran kehidupan akibat GST. Kita tahu bahawa ramai penjawat awam yang menanggung bebanan hutang dan sekiranya mereka hilang punca pendapatan, maka seluruh keluarga mereka juga akan terkesan.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (2)Terdapat sejumlah 1.4 juta penjawat awam dan sekiranya 10% sahaja yang diberhentikan, maka sekurang-kurangnya 140,000 isi rumah yang melibatkan 500 ribu rakyat jelata akan hilang punca pendapatan dan ini akan mengurangkan konsumpsi ekonomi dan menjejaskan pembangunan.

89. Ini bukan soal pengurusan fiskal mengawal perbelanjaan penjawat awam tetapi sepatutnya dimulakan dengan pembanterasan rasuah dan pembaziran, bukannya dengan mengurangkan penjawat awam ketika ini.

90. Saiz perkhidmatan awam adalah relatif, kerana kita masih lagi kekurangan guru, doktor, jururawat dan anggota polis. Apabila kita melihat kepada hajat mengurangkan saiz perkhidmatan awam, kita mestilah melihat dari sudut perikemanusiaan.

91. Kita tahu bahawa Jabatan Perdana Menteri sahaja mempunyai 40,000 orang kakitangan. Jika mahu diteruskan juga, maka YAB Pekan sepatutnya, memulakan dengan Jabatan beliau terlebih dahulu.

Bab 10: Malaysia pasca 2020

92. Bab ini banyak mengingatkan saya kepada mantan Ketua Pembangkang. Dalam banyak perbincangan saya dengan beliau berkenaan masa depan negara, beliau banyak menekankan keperluan kepada kepimpinan yang jujur, amanah dan mempunyai tekad politik untuk membuat perkara yang benar (doing the right thing).

93. Kita amat menghargai aspirasi YAB Pekan membina ‘Satu negara, satu bangsa dan satu impian’ untuk mencapai sasaran-sasaran seperti di dalam Bab 10 ini. Pekan tidak perlu tunggu lima tahun lagi tetapi terus laksanakan hari ini juga dengan membuat perubahan sewajarnya untuk meluaskan lagi demokrasi.

94. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YAB Pekan kerana menyiapkan RMK-11 dan semoga ia tidak tersasar lagi.

Tuan Yang diPertua,

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN DEMI MENJAYAKAN RMK-11

Dengan keizinan Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan tiga perkara untuk dipertimbangkan ke dalam RMK-11:

95. Pertama, wajib ada Reformasi politik, bukan Transformasi ekonomi sahaja. RMK-11 tidak ada perancangan untuk mereformasikan politik di negara ini.

Apabila kita menyebut soal reformasi politik, kita maksudkan keperluan kepada sebuah Suruhanjaya Pilihanraya yang bebas, proses persempadanan yang berasaskan piawaian antarabangsa, kebebasan media, dan tiada penahanan tanpa bicara. Kesemua hak asasi ini akan membantu ekonomi negara.

Tanpa kebebasan sebegini, rakyat akan terus berhijrah ke negara lain dan negara akan kehilangan modal dan bakat, yang amat diperlukan untuk memajukan negara. Lihat sahaja bagaimana pertumbuhan ekonomi telah dicapai di negara jiran seperti Indonesia, apabila ruang kebebasan dibuka untuk rakyat. “Respecting human rights has economic dividends”.

Akta HasutanJusteru, kita perlu menghapuskan Akta Hasutan, mengusulkan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) seperti di Selangor dan Pulau Pinang, untuk digunapakai di peringkat negeri dan persekutuan, Kebebasan akademik harus dibenarkan di institusi pendidikan tinggi bagi membenarkan para pelajar kita untuk memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.

96. Kedua, Reformasi bukan Transformasi Produktiviti Golongan Pekerja dengan memperkukuhkan peranan kesatuan sekerja. Dalam soal produktiviti dan pendidikan kemahiran, amat penting untuk kita membenarkan kesatuan sekerja untuk wujud dan beroperasi sewajarnya.

Pencabulan hak pekerja dan kebebasan berkesatuan tidak boleh dinafikan. Kita tidak boleh terus kekalkan piawaian buruh yang rendah seperti Bangladesh, Zimbabwe sebagainya dan isu akses pendidikan kemahiran yang adil perlu ditangani.

Saya percaya model yang lebih baik seperti ‘social market economy’ harus digunapakai kerana ia menggalakkan perkongsian diantara pekerja dan pengurusan untuk merangsang innovasi, produktiviti dan kualiti, seperti yang berlaku di negara-negara Scandinavia dan Jerman.

97. Ketiga, Reformasi bukan Transformasi Struktur dan Falsafah Ekonomi sahaja. Seperti negara Asia lain, lain Malaysia mengamalkan model pembangunan di mana negara berperanan besar.

Tun Dr Mahathir telah menggunapakai contoh daripada Jepun dan Korea Selatan. Walaupun Malaysia cuba mencipta Chaebol dan Zaibatsu, namun Malaysia gagal kerana melindungi serta menggunakan bail-out untuk syarikat-syarikat gergasi yang gagal. Ini adalah isu kroni-capitalisme yang ditentang oleh mantan Ketua Pembangkang selama ini.

Tuan Yang diPertua,

LONJAKAN AKHIR KE GARIS PENAMAT 2020 PERLUKAN IKHTIAR DAN ILTIZAM BARU

98. ‘Manusia merancang, Allah Tentukan’ menjadi peringatan bersama. Jika ada ikhtiar, iltizam dan niat kerajaan mahu menjayakan impian sebuah negara berpendapatan tinggi- prinsip-prinsip berikut wajib menjadi pegangan serta amalan.

99. Prinsip Utama adalah Tata Kelola Pemerintahan Baik berpaksikan
Demokrasi (Good Governance) seperti berikut:

● Proses Perancangan Telus – Penglibatan pihak berkepentingan diambil kira
● Pelaksanaan Efisyen – Bebas-Rasuah, Bebas-Ketirisan dan Bebas-Pembaziran dengan memperkukuhkan Akta Rasuah

100. Saranan Tuan Speaker sendiri agar penambahbaikan sistem Parlimen diangkat dan dilaksanakan segera oleh kerajaan kami sokong sepenuhnya.

101. Untuk memantapkan pelaksanaan RMK-11 adalah dicadangkan Jawatankuasa Fiskal Parlimen yang akan membantu proses merangkakan belanjawan tahunan akan saling memperkukuhkan proses penilaian perbelanjaan kerajaan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee) yang sedia wujud.

Tuan Yang diPertua serta Ahli-Ahli Dewan yang diMuliakan,

102. Masih belum terlambat untuk mencapai impian satu negara dan satu bangsa. Tetapi kita perlu jujur dan sedar bahawa Malaysia benar-benar berada dalam persimpangan, Malaysia tidak ada banyak masa lagi, Malaysia tidak ada jalan lain lagi melainkan kita menunaikan tanggungjawab dan amanah kepimpinan membina negara adil berperlembagaan dengan kadar segera.

Sekian, terima kasih.