Penjajaran IPR terap nilai kongsi kemakmuran

SHAH ALAM, 28 OGOS: Penjajaran semula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membolehkan Selangor menerapkan nilai ‘perkongsian kemakmuran’ (shared prosperity) seperti yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor dikenali sebagai negeri peduli rakyat selama 10 tahun dengan mewujudkan 42 program yang memberi manfaat buat rakyat sejak lahir hingga usia emas.

“Kerajaan mahu menumpukan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukan sekadar golongan isi rumah berpendapatan rendah sahaja tetapi termasuk golongan pertengahan.

“Antara elemen yang perlu dibantu ialah melalui pendidikan dan keusahawanan,” katanya ketika
Sesi Bual Bicara ‘Lonjakan Kemakmuran Ekonomi Selangor’ bersama Menteri Besar Selangor di sebuah stesyen televisyen, malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menyeimbangkan semula pemberian IPR memandangkan ada kumpulan yang dilihat tidak wajar menerima inisiatif berkenaan.

“Contohnya air percuma. Nilainya sangat berharga kepada golongan kurang mampu, tetapi untuk kelompok berpendapatan tinggi ia sudah pasti tidak wajar.

“Adakah patut pemberian air percuma itu bagi menanggung kolam renang? Sudah tentu tidak. Oleh itu, jika ditanya berkenaan ‘shared prosperity’, Selangor sudah mengetuai,” katanya.

Pada Ogos lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan penjajaran semula IPR membabitkan lapan skim.

Antaranya Kasih Ibu Smart Selangor, Skim Peduli Sihat, Tabung Warisan Anak Selangor, Bekalan Air Percuma, Skim Mesra Usia Emas, Skim Kesihatan Wanita, Bantuan Sihat Selangor, Skim Rumah Selangorku.

The post Penjajaran IPR terap nilai kongsi kemakmuran appeared first on Selangorkini.