Tiada program khas buat `ibu tinggal’ Selangor

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri tidak menyediakan apa-apa program khusus buat `ibu tinggal’ tetapi golongan itu boleh memohon semua bantuan yang ditawarkan, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, mereka tidak pernah dihalang untuk memohon apa-apa bantuan termasuk inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan seperti Bantuan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat mahupun Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan Negeri juga tiada sebarang halangan untuk golongan ‘ibu tinggal’ ini membuat permohonan bagi program-program Inisiatif Peduli Rakyat yang ditawarkan Kerajaan Negeri ini.

“Ia termasuklah inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat, Bantuan Dana Nafkah Keluarga dan Bantuan Sihat Selangor sekiranya menepati syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya (PAKATAN-Seri Serdang).

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Siti Mariah berkata, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga dengan kerjasama pihak Jabatan Kehakiman Syariah Selangor memperuntukkan RM100,000 sebagai dana permulaan kepada program Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Selangor bagi membantu wanita dan anak-anak yang diabai oleh suami atau bapa.

Katanya, dana itu bersifat bantuan khas bagi membantu wanita dan anak-anak terabai yang mengalami masalah nafkah selama tempoh enam bulan atau
selepas kes yang difailkan di mahkamah syariah selesai.

“Ibu yang layak akan diberi bantuan minimum RM200 untuk seorang anak, RM300 (dua hingga tiga anak), RM400 (empat hingga lima anak) dan RM500 kepada enam anak dan ke atas,” katanya.

Justeru, Siti Mariah berkata, beliau menyeru agar mana-mana wanita yang menjadi mangsa ditinggal atau digantung tak bertali oleh suami untuk tampil ke mahkamah bagi mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk menerima sebarang cadangan penambahbaikan daripada semua pihak dalam usaha kita memberdaya golongan `ibu tinggal’ di negeri ini,” katanya.

The post Tiada program khas buat `ibu tinggal’ Selangor appeared first on Selangorkini.