995 pelajar DUN Batu Tiga terima bantuan persekolahan

OLEH ALIFF HAIKAL JOHARI

SHAH ALAM, 15 DIS: Seramai 995 pelajar sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima sumbangan wang tunai, beg dan kelengkapan sekolah bagi memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban keluarga terutama kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk menyediakan keperluan anak-anak mereka.

“Sumbangan Ceria Ke Sekolah berupa bantuan RM200 dan baucar RM70 setiap seorang kepada 100 pelajar yang boleh ditebus di Pasaraya Hari-Hari bagi mendapatkan barangan persekolahan.

“Manakala Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), seramai 895 pelajar menerima sumbangan memfokuskan kepada mereka yang sudah memulakan sesi persekolahan iaitu pelajar yang lahir selepas 2012, layak menebus bantuan berbentuk beg sekolah,” katanya.

Rodziah Ismail menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Ceria ke Sekolah dan TAWAS di Dewan Beringin, Shah Alam pada 15 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ceria Ke Sekolah dan TAWAS peringkat DUN Batu Tiga di Dewan Beringin di sini, hari ini.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata, kedua-dua kategori sumbangan ditaja Tenaga Nasional Berhad dengan menjadikan DUN Batu Tiga sebagai salah satu kawasan untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Program ini juga menekankan tiga aspek utama iaitu ASK bermaksud Attitude, Skills and Knowledge (Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan) supaya dididik ibu bapa kepada anak-anak,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Besar Korporat TNB, Datuk Omar Sidek dan Ketua Pegawai Korporat Sutera Sdn Bhd (CANGGIH), Erfino Johari.

Program terbabit dianjurkan bersama TNB dan Majlis Ahli-Ahli Backbencher Parlimen Malaysia.

The post 995 pelajar DUN Batu Tiga terima bantuan persekolahan appeared first on Selangorkini.