Bendung diabetes, peruntukan Skim Peduli Sihat ditingkat

PUCHONG, 15 DIS: Bagi membendung penularan penyakit diabetes, Kerajaan Negeri komited mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran rakyat berkenaan penjagaan kesihatan dengan penganjuran Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women).

Karnival 3W yang memasuki siri jelajah ke-12 dan terakhir tahun ini memilih Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai tuan rumah dengan tema “Hari Diabetes dan Kanak-kanak”.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri juga komited meningkatkan peruntukan Skim Peduli Sihat tahun depan.

Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan (kiri) melakukan kaedah rawatan kecemasan CPR selepas beliau merasmikan Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) sempena Hari Diabetes dan Hari Kanak-Kanak peringkat MPSJ 2019 di Puchong Indah, Puchong pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Peruntukan ini ditingkatkan kepada RM42.5 juta berbanding RM10 juta tahun ini sekali gus jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap penjagaan kesihatan di Selangor.

“Adalah diharapkan melalui peningkatan peruntukan ini, lebih ramai rakyat Selangor dapat membuat saringan awal penyakit serta menerima kesihatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) di Padang Awam MPSJ, Puchong Indah di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Berdasarkan rekod, dianggarkan kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes pada tahun ini dan dijangka akan meningkat jika tiada kesedaran dalam diri masyarakat.

The post Bendung diabetes, peruntukan Skim Peduli Sihat ditingkat appeared first on Selangorkini.