Hargai kepelbagaian budaya dan kepercayaan demi kemakmuran- MB

SHAH ALAM, 25 JAN: Sempena Tahun Baru Cina kali ini, rakyat diseru supaya menghargai kerencaman budaya serta kepercayaan antara satu sama lain sekali gus memeliharanya demi kemakmuran, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, beliau sedar terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan perbezaan etnik sebagai jalan untuk memecah-belahkan masyarakat.

“Namun, saya yakin rakyat mampu mengetepikan pengaruh begini dan ‘take the higher road’ apabila berdepan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan Negeri beriltizam untuk sentiasa berdisplin dan berusaha demi memastikan tiada sesiapapun ditinggalkan dalam meningkatkan daya ekonomi negeri.

“Kerencaman Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia perlu dipelihara demi anak cucu kita,” katanya menerusi perutusan Tahun Baru Cina, hari ini.

Amirudin berkata, Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini juga amat bermakna kerana ia memberi peluang untuk mengeratkan silaturrahmi antara kawan dan keluarga.

Katanya, mengikut kiraan zodiak Cina yang mempunyai 12 haiwan, Tahun Baru Cina 2020 merupakan tahun tikus, khususnya tikus besi yang mempunyai sifat-sifat berdisiplin, cermat, rajin dan pintar.

“Astrologi Cina berkait rapat dengan Kalendar Cina juga menjadi antara panduan sambutan Tahun Baru sejak dulu lagi dan amat bermakna kepada masyarakat Tionghua.

“Bagi tahun ini, saya bertekad untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri di samping memastikan aspek sosial dijaga, khususnya pendidikan dan keselamatan.

“Langkah seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor, Skim Peduli Sihat dan sistem kamera litar tertutup pengimbas wajah yang bertujuan mengurangkan jenayah akan menjadi landasan memberi kepada semua untuk menjadikan 2020 amat cemerlang,” katanya.

The post Hargai kepelbagaian budaya dan kepercayaan demi kemakmuran- MB appeared first on Selangorkini.