Pakej Rangsangan Selangor Prihatin ringankan beban rakyat terjejas wabak

Susulan wabak Covid-19 yang semakin serius dan Perintah Kawalan Pergerakan yang diperkenalkan antara 18 hingga 31 Mac, kerajaan Selangor mengumumkan pakej bantuan sosioekonomi kepada kumpulan sasar utama.

Berikut kenyataan penuh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19:

Kerajaan Negeri Selangor memandang serius penularan Wabak Covid-19 yang kini sudah dikategorikan sebagai satu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memaksa Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan suatu langkah drastik iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

Perintah Kawalan Pergerakan itu semestinya memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Negeri Selangor khususnya.

Justeru untuk mengurangkan beban kehidupan dan kesulitan ekonomi akibat daripada PKP itu, Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan suatu pakej rangsangan yang dikenali sebagai Pakej Selangor Prihatin.

Berikut adalah inisiatif tersebut:

1. Menghargai Petugas Barisan Hadapan Menangani Wabak Covid-19

Kerajaan Negeri menginsafi betapa petugas-petugas kesihatan bertungkus-lumus berkhidmat dan ada di antara mereka terus bertugas tanpa cuti dihimpit kemelut wabak ini.

Oleh yang demikian, pentadbiran ini meluluskan satu insentif one-off sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus (RM200) kepada enam ribu (6,000) petugas yang dikenal pasti terlibat di hospital-hospital seluruh Selangor. Bantuan makanan ini akan berterusan sehingga 31 Mac 2020. Peruntukan ini berjumlah Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Dua Juta (RM1.2 juta).

2. Bantuan Kepada Penjaja/ Berniaga Berlesen

Pengecualian sewa akan diberikan kepada lapan puluh ribu (80,000) penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan utama (RM12 juta). Turut disediakan adalah pemberian khas one-off sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ratus (RM500) bagi melancarkan aliran tunai masing-masing (RM 40 juta).

Permohonan untuk pemberian tersebut akan mula dibuka mulai 1 April 2020 sehingga 30 April 2020. Penyaluran pemberian khas akan dilaksanakan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan. Keseluruhan inisiatif ini akan mengakibatkan kos sebanyak Ringgit Malaysia Lima Puluh Dua Juta (RM52 juta).

3. Meringankan Beban Usahawan Skim Hijrah Selangor

Penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga (3) bulan ansuran kepada semua empat puluh ribu (40,000) peminjam Hijrah. Beban kewangan yang akan ditanggung Kerajaan Negeri adalah sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Puluh Juta (RM70 juta).

4. Memudahcara Urus Diri Mahasiswa

Mengambil kira saranan MKN, pelajar-pelajar Selangor yang menuntut di Institusi-institusi Pendidikan Tinggi tidak lagi dibenarkan pulang ke halaman masing-masing. Dengan itu, bagi memudahcara urus diri mahasiswa-mahasiswa Selangor yang terpaksa kekal di IPT masing-masing di Sabah dan Sarawak, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan bantuan sara diri one-off sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus (RM200) bagi dua ribu lima ratus (2,500) pelajar yang terkesan dengan larangan pulang tersebut.

Manakala bagi pelajar-pelajar Selangor di tempat lain khususnya di Unisel, Kuis, dan Kolej INPENS, Program Makanan Percuma akan dilaksanakan bermula 22 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi mahasiswa/i yang terpaksa kekal di kampus masing-masing. Keseluruhan bantuan ini bernilai Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Tiga Juta (RM2.3 juta).

5. Meringankan Beban Peserta Skim Smart Sewa

Pentadbiran ini meluluskan penangguhan bayaran sewa sebanyak tiga (3) bulan ansuran untuk dua ribu tujuh ratus (2,700) penyewa dengan kos sebanyak Ringgit Malaysia Enam Ratus Ribu (RM600,000).

6. Penggunaan Khas Peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor

Kelonggaran skop peruntukan akan diberikan kepada setiap ADN dengan anggaran kira-kira Ringgit Malaysia Tiga Puluh Ribu (RM30,000) kepada semua lima puluh enam (56) ADN di seluruh Selangor untuk sebarang perbelanjaan aktiviti Mesra Rakyat khusus untuk keperluan harian individu / keluarga yang terkesan. Peruntukan mininum untuk inisiatif ini berjumlah Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Enam Lapan Juta (RM1.68 Juta).

7. Pelanjutan Tempoh Akhir Bayaran Cukai Tanah / Petak dari 31 Mei 2020 kepada 30 Jun 2020

Kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai untuk melewatkan pembayaran cukai tanah / petak selama satu (1) bulan tanpa sebarang bebanan kos pada pihak Kerajaan Negeri.

Jumlah keseluruhan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin adalah sebanyak Ringgit Malaysia Satu Ratus Dua Puluh Tujuh Perpuluhan Tujuh Lapan juta (RM127.78 juta).

Pembiayaan tersebut adalah daripada Perbendaharaan Negeri serta sumbangan CSR anak-anak syarikat Selangor.

Kerajaan Negeri akan mencuba sebaik mungkin bagi meringankan beban rakyat serta menampan (cushion) derita kewangan mereka yang terkesan.

Kerajaan Negeri prihatin dan bersedia mendengar sebarang cadangan untuk menambah baik perbelanjaan fiskal negeri demi kemaslahatan rakyat.

The post Pakej Rangsangan Selangor Prihatin ringankan beban rakyat terjejas wabak appeared first on Selangorkini.