MB umum pakej kedua Selangor Prihatin jam 3 petang ini

SHAH ALAM, 1 APRIL: Dato’ Menteri Besar akan mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 fasa kedua bagi mengurangkan dampak wabak di kediaman rasminya, di sini, petang ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membuat pengumuman itu jam 3 petang, yang boleh ditonton secara langsung di TV Selangor (www.selangortv.my) dan Facebook Media Selangor (www.facebook.com/MediaSelangor/).

Siaran langsung ini boleh juga diikuti di laman Facebook Amirudin Shari (www.facebook.com/amirudinbinshari).

“Beberapa golongan seperti usahawan industri kecil sederhana (SME) dan mahasiswa, serta sektor perlindungan kesihatan akan diberi perhatian,” katanya di Twitter malam tadi.

Pada 20 Mac lalu, beliau mengumumkan pakej berkenaan bagi fasa awal yang membabitkan tujuh inisiatif bernilai RM127.78 juta.

Ia memberi manfaat kepada beberapa kumpulan sasar seperti petugas barisan hadapan, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan skim Hijrah dan orang ramai.

Pakej yang diumum oleh Amirudin dahulu antaranya:

1. Sumbangan RM200 seorang kepada 6,000 petugas kesihatan di semua hospital di Selangor

2. 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dikecualikan sewa sebulan serta diberi bantuan RM500 seorang

3. 40,000 peminjam Hijrah diberi penangguhan bayaran pinjaman

4. Penangguhan bayaran sewa tiga bulan kepada 2,700 peserta Skim Smart Sewa

5. 2,500 anak Selangor yang belajar di Sabah dan Sarawak diberi bantuan RM200 seorang, manakala pelajar di Unisel, Kuis dan Kolej Inpens yang tidak pulang ke kampung menerima bantuan makanan percuma

6. Ahli Dewan Negeri menerima peruntukan RM30,000 untuk membantu rakyat yang terkesan Covid-19

7. Pemilik hartanah diberi kelonggaran lanjutan sebulan bagi pembayaran cukai tanah atau petak

The post MB umum pakej kedua Selangor Prihatin jam 3 petang ini appeared first on Selangorkini.