Usahawan Permatang digalak mohon skim Hijrah, kembang perniagaan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Usahawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang digalakkan memohon pembiayaan Hijrah Selangor (Hijrah) untuk mengembangkan perniagaan mereka, kata ahli dewan negerinya.

Rozana Zainal Abidin berkata usahawan tempatan boleh membuat pinjaman sehingga RM50,000 untuk memulakan perniagaan selain memohon mendapatkan peralatan atau mesin berdasarkan keperluan perusahaan masing-masing.

“Peniaga boleh mendapatkan peralatan atau mesin itu melalui Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

“Saya sering menasihati mereka (usahawan) supaya ambil setiap peluang dan bantuan yang ditawarkan Kerajaan Negeri, jadi tiada alasan mereka tidak boleh membesarkan perniagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau juga mahu melihat lebih ramai anak muda di kawasan berkenaan diberi peluang terlibat dalam bidang perniagaan terutama industri makanan.

“Sekiranya perniagaan berkembang, usahawan boleh ambil anak muda tempatan bekerja sekali gus mengurangkan kadar penghijrahan (anak muda) ke luar daerah atau negeri untuk mencari rezeki,” katanya.

The post Usahawan Permatang digalak mohon skim Hijrah, kembang perniagaan appeared first on Selangorkini.