MB: Bela nasib penunggang p-panggilan, 6,500 peserta RiDE terima pelbagai manfaat

SHAH ALAM, 24 DIS: Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang dianjur sejak 2020 memberi manfaat kepada 6,500 pekerja p-panggilan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah berkenaan melibatkan hampir separuh daripada keseluruhan 15,000 bilangan pekerja sektor itu di negeri ini.

Beliau berkata sejak dilancarkan, skim yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang mendapat permintaan tinggi hingga mencecah lebih 14,000 permohonan.

“Hari ini kita serahkan kepada kumpulan terakhir permohonan 2022 yang layak terima bantuan meliputi wang tunai RM500 dan RM50 untuk membuka akaun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tahun ini sahaja kita terima 6,200 permohonan. Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan langkah untuk terus memberi pembelaan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan inisiatif RiDE di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (hadapan, tengah) bergambar bersama ketika majlis penyerahan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata RiDE diwujudkan selepas Kerajaan Negeri melihat keperluan melindungi pekerja p-panggilan berikutan kebergantungan masyarakat terhadap sektor itu terutama selepas penularan wabak Covid-19.

“Tahun pertama kita bantu mereka dapatkan lesen tetapi semua ada berlesen. Jadi kita tukar inisiatif sebagai sumbangan penghargaan dari Kerajaan Negeri.

“Pada 2021 kita tambah baik dengan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sekarang kita mahu mereka dilindungi dengan skim Insurans Am Selangor (INSAN),” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM2 juta untuk meneruskan inisiatif RiDE susulan permohonan memberangsangkan dalam kalangan belia penghantar makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berswafoto bersama peserta ketika majlis penyerahan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

The post MB: Bela nasib penunggang p-panggilan, 6,500 peserta RiDE terima pelbagai manfaat appeared first on Selangorkini.