Inisiatif RiDE beri caruman KWSP galak pekerja p-panggilan menyimpan

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 30 DIS: Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang memberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM50 kepada pekerja p-panggilan menggalakkan budaya menyimpan.

Mohamad Uzairi Abdullah, 28, berpendapat nilai itu tidak menjadi sandaran tetapi pendedahan dan galakan buat pekerja sektor itu menyimpan untuk masa depan adalah lebih penting.

Mohamad Uzairi Abdullah

“Saya belum pernah ada akaun KWSP, jadi sebelum ini memang tidak ambil tahu sangat. Apabila ada pendedahan melalui RiDE baru tahu kita sebenarnya boleh mencarum sendiri.

“Elok program ini diteruskan ramai yang dari umur muda, masih belum tahu Kerajaan Negeri sedia pelbagai inisiatif bermanfaat untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Azuaie Abd Hamid, 29, pula berkata pendapatan pekerja p-hailing yang tidak menentu menjadikan caruman KWSP antara aspek penting yang perlu diberi pendedahan.

“Golongan muda yang tiada tanggungan belum ada kesedaran pentingnya simpanan masa depan. Jadi, inisiatif ini akan buka mata mereka kepentingan dan saluran betul untuk menyimpan,” katanya.

Mohd Effendi Abd Halim, 30, mengakui hanya tahu pekerja ekonomi sampingan boleh mencarum sendiri dalam KWSP selepas menyertai program RiDE.

Mohd Effendi Abd Halim

“Selama ini tidak pernah tahu, jadi ada baiknya program seperti ini beri banyak maklumat yang mungkin ramai tidak tahu,” katanya.

Pada 24 Disember, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 3,000 pekerja p-panggilan bawah RiDE menerima caruman KWSP bernilai RM50.

Beliau berkata program yang dilaksanakan sejak 2020 turut memberi pelbagai manfaat lain seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

The post Inisiatif RiDE beri caruman KWSP galak pekerja p-panggilan menyimpan appeared first on Selangorkini.