EXCO: Ringan beban hidup, 25,000 keluarga terima bantuan RM300 sebulan

SHAH ALAM, 16 JAN: Seramai 25,000 keluarga kurang mampu mendapat manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang dilancar pada Julai tahun lalu, kata EXCO industri dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) antara langkah untuk menyokong kehidupan rakyat yang lebih baik.

“Pendaftaran untuk membolehkan penerima mendapat bantuan itu masih dibuka bagi meringankan beban golongan sasar. Kita sasarkan kira-kira 30,000 keluarga terima bantuan ini.

“Jika jumlah penerima kekal bermakna ekonomi penduduk semakin pulih. Kita sedia membantu penduduk namun tidak berharap jumlah penerima semakin bertambah kerana ia berkaitan ekonomi mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam ISP membabitkan peruntukan RM108 juta.

Pada 1 Ogos, Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

The post EXCO: Ringan beban hidup, 25,000 keluarga terima bantuan RM300 sebulan appeared first on Selangorkini.