EXCO: Pemohon program bantuan dinasihat kemuka maklumat tepat

SHAH ALAM, 11 FEB: Pemohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dinasihat supaya melengkapkan permohonan dengan maklumat tepat dan tidak mengelirukan, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau berkata maklumat mengelirukan hanya menyebabkan permohonan bantuan itu tidak lulus atau mengalami kelewatan dalam memprosesnya.

“Kita dapati banyak dokumen tidak lengkap dan mengelirukan seperti alamat serta nombor kad pengenalan anak yang didaftar tidak wujud dalam sistem.

“Ini menyukarkan proses kelulusan kerana Kerajaan Negeri mahu menjalankan amanah diberikan dengan menyalurkan bantuan kepada penerima layak dengan cara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan perayaan Ponggal peringkat negeri di perkarangan Kuil Sri Swarna Maha Mariamman Alayam Taman Sri Muda di sini, semalam.

Sementara itu, Ganabatirau yang juga EXCO kerajaan prihatin memaklumkan seramai 25,111 keluarga kurang berkemampuan menerima manfaat Bingkas yang dilancar pada Julai tahun lalu.

“Kerajaan Negeri akui jumlah sasaran 30,000 keluarga yang ingin dibantu tidak cukup tetapi kita perlu imbangi pendapatan dan perbelanjaan.

“Selain Bingkas, rakyat juga boleh memohon bantuan lain seperti air percuma, baucar Jom Shopping atau menggunakan perkhidmatan seperti bas percuma atau program kesihatan. Semua bantuan Kerajaan Negeri bercirikan kebajikan kepada semua lapisan,” katanya.

Inisiatif Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusi Bingkas, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

The post EXCO: Pemohon program bantuan dinasihat kemuka maklumat tepat appeared first on Selangorkini.