Kerajaan Negeri sedia pelbagai program kebajikan, rakyat perlu manfaat sepenuhnya

SUBANG JAYA, 12 FEB: Rakyat Selangor disaran memanfaatkan sepenuhnya program kebajikan disediakan Kerajaan Negeri, kata EXCO Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Kampung Baru.

Ng Sze Han berkata pelbagai program kebajikan disediakan termasuk skim air percuma 20 meter padu sebulan menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE).

“Ramai ingat air percuma sudah tiada lagi, sebenarnya ia masih ada diberikan kepada kumpulan sasaran pendapatan keluarga tidak lebih RM5,000 layak memohon dan dapat air percuma dari Kerajaan Negeri. Kalau nak mohon senang saja, pergi ke laman web Air Selangor.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han (lima kanan) bersama Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin (empat kiri), EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (lima kiri), Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali (empat kanan) dan jemputan bergambar bersama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat MBSJ 2023 di Batu 14 Puchong pada 11 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Selain itu Skim Insurans Am Selangor (INSAN) terbuka kepada semua warga Selangor layak dapat perlindungan sehingga RM10,000. Pendaftaran melalui aplikasi Wavpay,” katanya ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna MBSJ Batu 14, Puchong di sini semalam.

Selain itu katanya baucar beli-belah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dibuka untuk pendaftaran dan tuntutan sepanjang tahun.

“Ini bermakna penerima manfaat tidak perlu tergesa-gesa untuk bergegas ke pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana anda mempunyai masa mencukupi untuk tuntut baucar tersebut,” katanya.

Mulai tahun ini nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 dan had kelayakan pendapatan isi rumah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

The post Kerajaan Negeri sedia pelbagai program kebajikan, rakyat perlu manfaat sepenuhnya appeared first on Selangorkini.