1,127 keluarga di DUN Meru mohon bantuan bulanan RM300

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 15 FEB: Seramai 1,127 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) bagi tahun ini.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri Meru Norlena Nayan berkata kesemua permohonan dalam talian ditapis sebelum keluarga yang layak dipilih untuk menerima bantuan bulanan RM300.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan

“Kita akan semak dokumen sebelum menziarahi rumah pemohon untuk memastikan hanya yang layak menerima bantuan tersebut.

“Bagaimanapun kuota penerima untuk DUN Meru tahun ini masih belum diputuskan jadi kita masih menunggu sebelum membuat pemilihan,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak diperkenalkan Jun tahun lalu, Norlena memberitahu sebanyak 506 keluarga di DUN berkenaan sudah menerima manfaat bantuan tersebut.

“Kita harap Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan Bingkas agar lebih ramai keluarga yang layak menerima bantuan tersebut,’’ujarnya.

Inisiatif Bingkas yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusi bantuan berkenaan, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menawarkan 44 inisiatif menerusi pakej ISP membabitkan peruntukan lebih RM600 juta.

Skim menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat turut memperkenalkan 11 insentif baharu antaranya program kesihatan Selangor Saring, Iltizam Anak Penyayang, Saringan Barah dan Selangor Mental Sihat.

The post 1,127 keluarga di DUN Meru mohon bantuan bulanan RM300 appeared first on Selangorkini.