Harga berpatutan, lokasi strategik tarik minat juruteknik pilih Rumah Selangorku

PETALING JAYA, 13 MAC: Pembinaan di kawasan strategik dengan tawaran harga berpatutan menarik minat seorang juruteknik sokongan swasta untuk memiliki kediaman Rumah Selangorku disediakan Kerajaan Negeri.

Hazim Mohamad Madani, 32, berkata sehubungan itu beliau memutuskan membeli rumah mampu milik iaitu Pangsapuri Casa Jasmine, Setia Alam di sini sebagai rumah pertamanya dan menjadikan Selangor sebagai destinasi untuk didiami.

“Banyak pilihan rumah saya tinjau tetapi rata-rata tiada yang menarik seperti mana ditawar Rumah Selangorku. Tersedia di kawasan strategik dan selesa membuatkan saya berminat memilikinya.

“Lagipun sudah tujuh tahun saya menyewa rumah, sudah tiba masanya saya membeli aset sendiri dan sekurang-kurangnya apabila berkahwin nanti saya sudah mempunyai rumah,” kata anak kelahiran Pahang itu kepada SelangorKini.

Bagi Lim Sheng Kuan, 27, beliau membuat keputusan membeli rumah pada usia muda selepas mendapat nasihat ibu bapanya supaya mengambil peluang sementara harga rumah kian meninggi.

“Saya memilih Rumah Selangorku ini kerana lokasinya berhampiran tempat kerja, proses permohonan pun mudah dan hanya mengambil tempoh kurang sebulan, terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam Khairul Fauzi Saadon, 35, bersyukur apabila permohonan Skim Smart Sewa diluluskan tepat pada masanya dan bercadang pindah ke Pangsapuri Seri Utama, Puchong pada bulan ini.

“Alhamdulillah tepat pada masanya permohonan saya diluluskan kerana rumah disewa ketika ini akan diambil kembali pemiliknya dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, jika ada rezeki saya akan gunakan wang sewaan sebanyak 30 peratus untuk memiliki kediaman sendiri kelak,” katanya.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.

Tempoh sewaan minima selama dua tahun akan diberikan pemulangan sewaan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dan tempoh maksima adalah lima tahun.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka bersama 10 penerima lain menerima surat tawaran Skim Rumah Selangorku dan Skim Smart Sewa yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3 di sini semalam.

The post Harga berpatutan, lokasi strategik tarik minat juruteknik pilih Rumah Selangorku appeared first on Selangorkini.