ADN minta proses lulus permohonan program bantuan warga emas, OKU dipercepat

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Negeri diminta mempercepat kelulusan permohonan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa Selangor (SMIS).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Shatiri Mansor berkata pihaknya mengesan proses kelulusan baucar RM150 dan khairat kematian RM500 mengambil masa dua hingga tiga bulan.

“Dengan keadaan sekarang yang mana rakyat memerlukan bantuan secepat mungkin, saya harap EXCO berkaitan mempercepatkan proses bagi kedua program ini.

“Baru-baru ini, kita serah 550 permohonan dari Kota Damansara namun hingga kini belum diluluskan,” katanya ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Shatiri berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang menyediakan SMUE dan SMIS bagi membantu golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya berharap ia dikekalkan dalam memastikan rakyat Selangor terus mendapat manfaat sedia ada,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan usaha Kerajaan Negeri yang memperkenalkan pelbagai program dan kebajikan untuk manfaat rakyat di bawah kerangka Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Baginda turut menyeru penduduk menyertai 46 program ISP yang meliputi aspek pendidikan, kebajikan, perumahan, pembangunan modal insan dan kesihatan.

The post ADN minta proses lulus permohonan program bantuan warga emas, OKU dipercepat appeared first on Selangorkini.