Lebih 4,500 keluarga terjejas banjir di Klang terima bantuan RM500

SHAH ALAM, 17 MAC: Sejumlah RM1.165 juta disalur kepada 4,520 keluarga sekitar Klang yang terjejas banjir pada November tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap keluarga di beberapa tempat antaranya Kampung Budiman, Meru dan Taman Melawis, Klang menerima sumbangan RM500.

“Unit pengurusan bencana negeri menyerah RM1.165 juta pada 17 Feb lalu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

“Bantuan diserah secara berperingkat kepada keluarga terjejas di pejabat tanah,” katanya pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) akan ditambah baik dan dikemas kini susulan penjenamaan Inisiatif Peduli Rakyat kepada Iltizam Selangor Penyayang.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga akan mempertimbang kesesuaian menggabungkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah bawah kerajaan persekutuan dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

“Isu yang penting di sini adalah data. Adakah data kita selari atau bagaimana kita lebarkan atau tambah yang lain.

“Dengan kerjasama erat persekutuan dan negeri saya percaya kita boleh tambah dan selaraskan dan ramai akan menerima bantuan,” katanya.

The post Lebih 4,500 keluarga terjejas banjir di Klang terima bantuan RM500 appeared first on Selangorkini.