Lebih sedekad pentadbiran negeri berdaya, bela kebajikan wanita

SHAH ALAM, 17 MAC: Sejak 2008, golongan wanita Selangor terus diberi keutamaan dalam pelbagai bidang. Malah, sejumlah peruntukan disediakan bagi memajukan kumpulan wanita.

Wartawan Abdul Rahim Sabri mengimbau program dan manfaat untuk wanita Selangor termasuk ibu tunggal melalui tiga kategori utama kesihatan, kebajikan dan kekeluargaan serta keusahawanan.

Memberdaya kesihatan

Pada 2010, Kerajaan Negeri memperkenal Skim Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL) kepada golongan wanita. Berdasarkan rekod sehingga 2012, seramai 16,816 wanita mendapat manfaat dengan perbelanjaan RM 1.6 juta.

Program itu ditambah baik bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Berdasarkan data sehingga 2017, seramai 30,465 wanita terlibat. Lebih RM3.4 juta dibelanjakan.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan bantuan Iltizam Sihat Selangor kepada penerima sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada 2019, Iltizam Kesihatan Selangor diperkenal dengan 11 program bersasar. Kerajaan memperuntuk RM65.6 juta bagi meneruskan pelbagai program berkaitan kesihatan awam, termasuk wanita dalam Belanjawan Selangor 2023.

Kebajikan dan kekeluargaan

Kebajikan wanita diberi perhatian khusus oleh pentadbiran negeri sejak 2008. Melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor, Pusat Komuniti Wanita (PKW) ditubuhkan pada 2010 dan dijenamakan semula kepada Wanita Berdaya Selangor (WBS) pada 2020.

PKW membimbing kaum wanita melalui latihan dan bengkel kemahiran tertentu, pendidikan dan keusahawanan jangka panjang serta jangka pendek, agar mampu berdikari demi meningkatkan ekonomi hidup.

Sepanjang 2008 sehingga 2013, sebanyak 47 program dilaksanakan. Sebanyak 10 PKW diwujudkan yang menyediakan peralatan jahitan melalui dana RM15,000 bagi setiap pusat.

Bagi merealisasikan Dasar Wanita Selangor, WBS sebagai peneraju kepada usaha pendayaupayaan wanita dan masyarakat dalam sektor kepimpinan pendidikan, kekeluargaan, ekonomi, kesihatan dan sosial.

Seramai 13 wanita menerima tawaran biasiswa dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 12 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 2018, Kerajaan Negeri memperkasa kebajikan dan kekeluargaan dengan membantu wanita berpendapatan rendah (B40) termasuk ibu tunggal yang mempunyai tanggungan dengan memperkenalkan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Bagi melonjakkan sosioekonomi kumpulan itu, dana RM72 juta diperuntuk bagi tujuan tersebut. Mereka menerima RM200 sebulan atau RM2,400 setahun untuk membeli bekalan makanan asas atau keperluan harian tanpa tunai.

Dampak pandemik Covid-19 mendorong pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenal Kiss Ibu Tunggal (KISS IT) pada 2020 bagi membantu 5,000 ibu tunggal yang terkesan menerusi peruntukan RM7 juta.

Kerajaan Negeri kemudian menjenamakan program KISS dan KISS IT kepada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dengan pemberian tunai RM300 sebulan atau RM3,600 setahun, melalui Belanjawan Selangor 2022. Sebanyak RM108 juta disalur dan memanfaatkan 180,000 individu atau 30,000 keluarga.

Pada 4 Disember 2021 seramai 21,000 penerima bantuan KISS dan KISS-IT akan menerima manfaat Bingkas.

Keusahawanan

Kerajaan Negeri turut menyediakan pembiayaan khusus untuk kaum Hawa berniaga sejak 2015 melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Sebanyak 34,379 usahawan wanita Hijrah (60 peratus) melibatkan pembiayaan lebih RM442 juta sepanjang sembilan tahun sehingga Mac 2023.

Pengusaha bakeri DP Pastry House Sharmalizawati Ramle menunjukkan aneka pastri yang dijual di kedainya ketika lawatan Kembara Sukses Hijrah 2023 di Puncak Alam pada 14 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Berdasarkan data Hijrah Selangor, seramai 57,738 peserta terlibat dengan program ini setakat bulan ini.

Hijrah Selangor turut menawarkan pembiayaan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) sehingga RM5,000 sebagai modal awalan atau dana untuk usahawan mengembangkan perniagaan. Skim itu membantu 1,722 pemohon melalui pembiayaan RM8.61 juta pada 2022.

Pemerkasaan wanita melalui perniagaan diperkukuh dengan inisiatif Hasil Suri Selangor (HaSSel) dan Halal Suri. Ia adalah landasan bagi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.

The post Lebih sedekad pentadbiran negeri berdaya, bela kebajikan wanita appeared first on Selangorkini.