Menuju negeri pintar di Asean menjelang 2025

Kedudukan Selangor sebagai negeri termaju terus utuh apabila Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Harapan memperkenalkan agenda pendigitalan.

Menerusi program Smart Selangor pada 2016 dan dikemaskini pada 2020 sebagai Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (SSAP 2025), Selangor bakal menjadi sebagai negeri pintar di Asean menjelang 2025.

Terdapat 60 inisiatif SSAP 2025 yang telah dikategorikan kepada empat domain utama iaitu Kerajaan Pintar, Ekonomi Pintar, Komuniti Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar. Wartawan ALANG BENDAHARA menyenaraikan antara inovasi Kerajaan Selangor.

Smart Parking Selangor (SSP)

Sistem tempat letak kereta pintar menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) ini memudahkan pengguna membayar parkir dan kompaun di 10 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setakat Oktober 2022 seramai 2.2 juta pengguna direkod sejak ia mula diperkenalkan pada Julai 2018.

Azmani Anwar, 39 menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking ketika tinjauan Selangorkini di Seksyen 9, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Merupakan negeri pertama di negara ini melaksanakan sistem bayaran parkir digital menggunakan e-kupon bagi menggantikan kupon bergores.

Citizen E-Payment (CEPat)

Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment’ atau CEPat memudahkan semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat.

Menawarkan kemudahan permohonan lesen, bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir dan bayaran bil utiliti.

Diperkenal pada Ogos 2019, aplikasi ini digunakan sembilan PBT meliputi 62 perkhidmatan serta tujuh kaedah bayaran. Dijangka kesemua 12 PBT di Selangor akan menggunakan aplikasi ini pada suku kedua tahun ini.

Scan To Ride dan Sistem Pengangkutan Pintar Selangor (SITS)

Sistem Scan To Ride di bawah aplikasi CEPat membolehkan pengguna perkhidmatan Bas Smart Selangor secara tanpa tunai.

Perkhidmatan bas itu percuma kepada rakyat tempatan manakala warga asing perlu membayar 90 sen mulai 15 Mac 2022. Seramai 4.45 juta pengguna Bas Smart Selangor setakat 30 September 2022.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han mengimbas kod QR ‘Scan To Ride’ di pintu masuk Bas Smart Selangor ketika melancarkan sistem itu pada 1 Mac 2021. Foto Facebook Ng Sze Han

Aplikasi SITS memaklumkan waktu ketibaan dan laluan Bas Smart Selangor secara waktu nyata.

SITS merupakan inisiatif pertama seumpama itu di Malaysia dan dibangunkan dengan kos yang amat menjimatkan berbanding inisiatif lain.

Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC)

Terletak di pusat pentadbiran negeri di Shah Alam, pusat itu berperanan sebagai pusat perintah, kawalan, komunikasi, komputer, kolaboratif dan pusat perisikan.

Ia mengupayakan operasi pemusatan data, operasi kawal dan perintah di antara agensi negeri seperti Unit Pengurusan Bencana, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan PBT serta agensi lain di Selangor.

Smartbox Pejabat Tanah dan Galian Selangor

Sistem Smartbox iaitu kemudahan urusan dalam talian di pejabat daerah dan tanah (PDT) mula diperkenalkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19 yang menyebabkan semua operasi terhenti termasuk urusan kaunter.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat cara penggunaan sistem smartbox di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 28 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program pendigitalan tersebut memudahkan permohonan, semakan serta bayaran urusan tanah selain meningkatkan kecekapan kutipan hasil negeri.

Subsidi

Selain itu, beberapa inisiatif negeri pintar lain turut dilancarkan antaranya Smart Selangor Bus Stop yang memaparkan masa nyata pergerakan bas. Butang kecemasan di semua perhentian Bas Smart Selangor yang dihubungkan kepada pusat operasi Smart Selangor (SSOC) juga diwujudkan.

Ia disepadukan dengan sistem pengurusan lalu lintas pintar (ITMS) yang boleh memantau lalu lintas secara masa nyata bagi membantu pengguna mengelak kesesakan.

Hentian Bas Smart Selangor dilengkapi sistem pengurusan lalu lintas pintar (ITMS) yang boleh memantau lalu lintas secara masa nyata bagi membantu pengguna mengelak kesesakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Bagi golongan B40, mereka boleh mendapatkan maklumat dan capaian bantuan dengan melayari portal ISP. Kumpulan peniaga kecil dan penjaja juga tidak ketinggalan apabila aplikasi pintar Platform Selangor (PLATS) dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) diadakan khusus bagi membantu mereka.

Untuk M40 pula, Kerajaan Negeri menyediakan inisiatif Skim Internet Selangor M40 (SISM40) iaitu subsidi langganan pakej internet. Menerusi WiFi Smart Selangor pula, lebih 3,600 akses internet percuma di rumah kos rendah dan sederhana, pusat pendidikan, kesihatan, keagamaan, pengangkutan, sukan dan rekreasi serta agensi negeri.

The post Menuju negeri pintar di Asean menjelang 2025 appeared first on Selangorkini.