Skim air percuma: Negeri teliti naikkan had minimum pendapatan isi rumah kepada RM6,000

SABAK BERNAM, 19 MAC: Kerajaan Selangor akan meneliti keperluan untuk menaikkan had minimum pendapatan isi rumah yang layak menerima skim air percuma 20 meter padu kepada RM6,000.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata usaha itu bagi memastikan sasaran 600,000 pendaftaran dalam Skim Air Darul Ehsan dapat dicapai.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berucap semasa program Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Sabak Bernam di Pentas Utama Bagan Terap, Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita akan lihat kalau masih kurang lagi (pendaftaran), kita akan naikkan (had minimum pendapatan) sebab Selangor paras garis kemiskinan pendapatan RM6,000 dan bukan mengikut nasional.

“Kalau kemungkinan itu (menyebabkan pendaftaran kurang), kita akan tengok balik…kita bawa (cadangan) supaya naikkan had minimum pendapatan isi rumah,” katanya.

Bercakap pada sidang media sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Bagan Terap di sini, Ir Izham memaklumkan seramai 300,000 rakyat memohon insentif terbabit setakat ini, separuh daripada sasaran ditetapkan.

Mengakui terdapat pertambahan pendaftaran, namun beliau berkata angka itu masih rendah walaupun pelbagai promosi dijalankan.

“Mungkin rakyat rasa terlalu sedikit (penjimatan) dalam RM11 satu rumah atau mahu beri peluang kepada orang lain.

“Tetapi tidak mengapa, kita masih kena teruskan juga usaha untuk menggalakkan pendaftaran dan buat publisiti,” katanya lagi.

Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati air percuma dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Ia susulan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat itu dinaikkan kepada RM5,000 berbanding RM4,000 sebelum ini.

Pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024 dengan syarat kelayakan meliputi pemohon mesti warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya untuk satu akaun sahaja.

The post Skim air percuma: Negeri teliti naikkan had minimum pendapatan isi rumah kepada RM6,000 appeared first on Selangorkini.