3,256 usahawan terima bantuan alatan niaga, negeri salur RM13.6 juta sejak 2016

KUALA LANGAT, 17 OKT: Seramai 3,256 usahawan kecil menerima bantuan alatan perniagaan dengan peruntukan RM13.6 juta menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sejak 2016 sehingga kini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata untuk tahun ini sebanyak 334 permohonan usahawan dari sembilan daerah diluluskan setakat ini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berucap ketika majlis penyerahan Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan program Bantuan Peralatan Usahawan India (i-SEED) di Dewan Sri Jugra, Kuala Langat pada 17 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Untuk Kuala Langat sahaja, sebanyak 90 orang hari ini menerima bantuan peralatan dan mesin masing-masing dengan peruntukan RM687,200.

“Ia menjadi daerah yang menerima peruntukan tertinggi berbanding daerah lain,” kata V Papparaidu.

Ditemui pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di sini hari ini, beliau memaklumkan sebanyak 639 usahawan India turut menerima bantuan peralatan berniaga sejak 2021.

Papparaidu menjelaskan Kerajaan Negeri turut membelanjakan RM3.34 juta menerusi program Bantuan Peralatan Usahawan India (I-SEED) dengan tahun ini sebanyak 175 permohonan diluluskan setakat ini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu (tengah) bergambar bersama penerima selepas menyampaikan peralatan usahawan ketika majlis penyerahan Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan program Bantuan Peralatan Usahawan India (i-SEED) di Dewan Sri Jugra, Kuala Langat pada 17 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kuala Langat sahaja 20 usahawan menerima bantuan peralatan hari ini yang memperuntukkan RM142,480 untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya yang berharap setiap usahawan memanfaatkan bantuan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan untuk penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri untuk melebarkan perniagaan.

“Saya harap peruntukan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan I-SEED diteruskan melalui Belanjawan Selangor yang akan dibentang bulan depan,” katanya.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu (tengah) beramah mesra bersama penerima selepas menyampaikan motor roda tiga ketika majlis penyerahan Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan program Bantuan Peralatan Usahawan India (i-SEED) di Dewan Sri Jugra, Kuala Langat pada 17 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

The post 3,256 usahawan terima bantuan alatan niaga, negeri salur RM13.6 juta sejak 2016 appeared first on Selangorkini.