Penjual sayur syukur dapat bantuan negeri, impian miliki motor roda tiga tercapai

KUALA LANGAT, 17 OKT: Impian penjual sayur Lim Kei Chin, 69, untuk memiliki sebuah motosikal roda tiga bagi memudahkan urusan hariannya tercapai apabila terpilih menerima Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan hari ini.

Mengakui sangat gembira menerima bantuan berkenaan, beliau yang berniaga di Pasar Borong Tanjong Sepat sejak empat tahun lalu berkata sebelum ini terpaksa menggunakan kereta yang uzur untuk berulang alik ke Banting bagi mendapatkan bekalan jualan.

Lim Kei Chin,69

“Gembira dapat bantuan ini dengan pertolongan ketua kampung yang bantu buatkan permohonan. Sebelum ini saya risau untuk berniaga kerana bergantung dengan kereta yang sudah uzur dan selalu rosak sehingga menjejaskan perniagaan.

“Bantuan motosikal roda tiga ini bagi saya semangat untuk terus berniaga dan mencari rezeki. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di Dewan Seri Jugra, Banting, di sini hari ini.

Kei Chin antara 90 usahawan kecil yang menerima bantuan peralatan dan mesin masing-masing dengan peruntukan RM687,200 yang disampaikan oleh EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu.

Sementara itu, peniaga buah-buahan dan ikan segar Mohd Yusof Bakri, 70, berkata bantuan peti sejuk beku bernilai RM7,000 yang diterimanya sangat membantu operasi perniagaan.

Mohd Yusof Bakri, 70

“Bagi peniaga barangan basah sangat penting untuk memiliki peti sejuk. Kalau tidak habis dijual boleh disimpan untuk mengekalkan tahap kualiti.

“Tanpa bantuan ini, saya tidak mampu membeli peti ais, bersyukur sangat dengan bantuan yang diterima hari ini,” katanya yang membuka gerai di Jalan Bandar Lama.

Bagi peniaga nasi claypot, Thamil Kodi Karuppannen, 50, pula sangat terharu dengan bantuan peti ais, ketuhar mikro dan periuk nasi bernilai RM10,000 untuk menjalankan perniagaan di Bandar Parkland, Klang.

K. Thamil Kodi, 50

“Setelah sekian lama menunggu melalui bantuan pejabat penghulu di Telok Panglima Garang membantu membuat permohonan, akhirnya hasrat memiliki alatan perniagaan diperlukan tercapai. Syukur ringankan beban belanja perniagaan,” katanya.

The post Penjual sayur syukur dapat bantuan negeri, impian miliki motor roda tiga tercapai appeared first on Selangorkini.