Bantu miliki kediaman, lebih banyak projek Rumah Selangorku diluluskan

SHAH ALAM, 5 MAC: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) meluluskan pembinaan lebih 100,000 unit Rumah Selangorku pelbagai kategori dalam tempoh beberapa tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan hampir 70,000 unit menunggu proses kebenaran merancang setakat ini, manakala selebihnya sedang dalam pembinaan.

“Tahun ini hingga 2026, banyak projek akan siap antaranya Rumah Idaman (Bandar Saujana Putra) dan akan diserahkan kepada pemiliknya. Projek ini diambil daripada pemaju tanah yang cuai,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata sebanyak 187,243 permohonan Rumah Selangorku diterima sepanjang 2018 hingga tahun lalu dengan 42,238 pemohonan menerima tawaran, manakala 115,095 dalam senarai menunggu.

Dalam tempoh sama juga, katanya, terdapat 95 projek melibatkan 30,327 unit rumah diserahkan kepada pembeli, sementara 29,910 menolak disebabkan pinjaman tidak lulus atau dokumen tidak lengkap.

Sejak 2014 hingga hujung tahun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan pembangunan 245,371 unit Rumah Selangorku melibatkan LPHS, pemaju swasta anak syarikat.