4.45 juta guna Bas Smart Selangor setakat 30 September

SHAH ALAM, 30 NOV: Jumlah pengguna Bas Smart Selangor menunjukkan trend meningkat tahun ini selepas banyak sektor kembali dibuka pascapandemik Covid-19.

EXCO pengangkutan awam memaklumkan seramai 4.45 juta menggunakan perkhidmatan itu setakat 30 September lalu berbanding 4.31 juta sepanjang tahun lalu.

“Pengguna Bas Smart Selangor salah satu inisiatif negeri untuk membantu mengurangkan kos perjalanan pekerja dan rakyat Selangor berpendapatan rendah,” kata Ng Sze Han.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung prestasi Bas Smart Selangor dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga sedang mengenal pasti inisiatif lain yang boleh diperkenal bagi meringankan beban rakyat terutama golongan memerlukan.

Perkhidmatan Bas Smart Selangor ditawarkan secara percuma kepada rakyat tempatan manakala warga asing perlu membayar 90 sen mulai 15 Mac lalu menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat).

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar mengumumkan perkhidmatan van transit akan dilaksanakan suku pertama tahun depan bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan awam negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkhidmatan dengan kos RM25 juta melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu untuk mencapai laluan sempit dan berkepadatan tinggi.

The post 4.45 juta guna Bas Smart Selangor setakat 30 September appeared first on Selangorkini.