Dapat mesin jahitan sulam, usahawan mahu kembangkan niaga

KAJANG, 4 MAC: Seorang usahawan perniagaan percetakan mahu mengembangkan kemahiran menerusi bantuan program Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Siti Zaleha Md Nor, 38, berkata selama sembilan tahun menjalankan perniagaan beliau hanya mampu menghasilkan produk menggunakan mesin percetakan fabrik sahaja.

“Selama ini saya hanya membuat cetakan baju dan pakaian yang biasa sahaja. Selepas ini saya akan kembangkan perniagaan menggunakan mesin sulam berkomputer yang diterima hari ini.

Siti Zaleha Md Nor

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi membantu usahawan kecil-kecilan seperti saya. Semoga ia mampu memberi lebih banyak rezeki kepada saya sekeluarga,” katanya.

Siti Zaleha antara lima penerima bantuan blueprint daerah Hulu Langat yang diraikan sempena Jelajah Selangor Kita Penyayang di Taman Impian Ehsan, Balakong di sini, hari ini.

Sementara itu, pasangan suami isteri R. Raja Segaran, 47 dan R. Thanageswari, 43 bersyukur kerana terpilih sebagai penerima program tersebut.

Kedua-duanya yang mengusahakan jualan kek dari rumah itu menerima peti sejuk pameran (display chiller) dan mesin pembuatan kek bernilai lebih RM6,000.

“Kami baharu dua tahun menjalankan perniagaan kecil ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mengurangkan beban kami,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 25 November memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan berbentuk peralatan atau mesin itu diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.

The post Dapat mesin jahitan sulam, usahawan mahu kembangkan niaga appeared first on Selangorkini.