Selangor perkasa pendidikan, beri bantuan seawal peringkat kanak-kanak

GOMBAK, 31 JULAI: Kerajaan Selangor mengutamakan pendidikan bagi membentuk masyarakat berilmu dan cemerlang sekali gus menjamin kehidupan masa depan.

Justeru lapan program insentif digaris dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bertujuan memperkasakan sektor itu seawal peringkat kanak-kanak, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ISP merangkumi program bantuan iaitu Pusat Tuisyen Rakyat, Iltizam Mahasiswa Selangor, Peduli Siswa dan Bantuan Sekolah Negeri Selangor.

Turut terkandung Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor, Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas), Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) dan Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor.

“Kita mulakan usaha dari bawah untuk pastikan mereka terutama golongan berpendapatan rendah tidak tercicir pendidikan. Kita sediakan Tunas yang beri RM50 sebulan untuk bantuan tadika.

“Tak cukup dengan itu, kita sediakan Asuh Pintar. Kita bagi peruntukan kepada pengusaha taska supaya dapat tingkatkan kualiti pendidikan.

“Sekarang kita ada lapan program pendidikan dan mahu gunakan skim ini untuk bantu keseluruhan sektor pendidikan anak Selangor,” katanya berucap pada majlis Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Padang Awam Batu Caves, Gombak hari ini.

Acara sama pernah dijayakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor dan Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Setiap lokasi memperkenalkan skim terkandung dalam ISP yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) menerusi peruntukan RM600 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

The post Selangor perkasa pendidikan, beri bantuan seawal peringkat kanak-kanak appeared first on Selangorkini.