Jelajah Selangor Penyayang siri keempat di Petaling tampil tema keluarga, komuniti

PETALING JAYA, 24 JULAI: Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) siri keempat di daerah Petaling menggariskan 12 inisiatif utama bertemakan kebahagiaan keluarga dan kesejahteraan komuniti.

Dato’ Menteri Besar berkata ia merangkumi Bantuan Kehidupan Sejahtera Keluarga (Bingkas), Skim Air Darul Ehsan, Jom Shopping Perayaan, Roda Darul Ehsan (RiDE), Dana Bantuan Guaman Selangor dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ia turut membabitkan Iltizam Anak Istimewa Selangor, Iltizam Anak Selangor, pusat kehidupan berdikari, pengecualian cukai pintu, pengecualian fi lesen penjaja dan Bas Smart Selangor.

“Kita ada 44 program dengan 12 daripadanya melibatkan pembangunan kasih sayang dalam keluarga dan komuniti yang dirancang oleh Kerajaan Negeri.

“Karnival sehari ini juga turut memperkenalkan produk lain di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan ISP di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau gembira melihat kehadiran orang ramai bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai inisiatif Kerajaan Selangor selain menyertai aktiviti lain yang disediakan.

“Sebelum ke sesi perasmian saya sempat melawat rerurai yang ada dan mendapati bukan sahaja orang Petaling Jaya tetapi ada juga dari luar (datang).

“Minggu depan kita habiskan siri kelima jelajah bagi fasa pertama di Gombak yang menumpukan sektor pendidikan. Selepas itu kita akan lengkapkan empat daerah lain untuk terangkan ISP dan Rancangan Selangor Satu (RS-1),” katanya lagi.

Program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu membabitkan dana RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, acara sama diadakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat dan Stadium Utama Kuala Selangor.

Jelajah berkenaan bakal berakhir di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai ini.

The post Jelajah Selangor Penyayang siri keempat di Petaling tampil tema keluarga, komuniti appeared first on Selangorkini.