Tradisi bela rakyat, skim bantuan ditambah

Selangor meneruskan tradisi membela rakyat sejak 2008 dengan pakej bantuan lebih banyak manfaat. Terbaharu siri Jelajah Selangor Penyayang dilancarkan bermula di daerah Hulu Langat pada 19 Jun.

Usaha mendekati rakyat pascapandemik ini diteruskan ke Pantai Morib, Kuala Langat (25 Jun) dan Kuala Selangor (2 Julai). Dua lagi bakal menyusul, Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (23 Julai) dan Padang Awam Batu Caves, Gombak (31 Julai).

Iltizam Selangor Penyayang disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang asalnya berjumlah lebih 30 pakej bantuan.

Seiring dengan keperluan rakyat, Kerajaan Selangor menambah perbelanjaan sehingga RM600 juta bagi menjayakan insentif-insentif berkenaan.

“Kita membelanjakan RM600 juta setahun dan Alhamdulilah lebih banyak kita berikan semakin banyak hasil yang diperoleh. Buktinya walaupun kita berdepan pandemik, Selangor masih mengutip cukai yang baik dan melebihi sasaran.

“Walaupun kita belanja tinggi, rizab negeri masih berada pada tahap yang selesa lebih daripada RM3 bilion sebagai mana pencapaian Menteri Besar sebelum-sebelum saya,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Perbelanjaan itu merangkumi lebih 40 pakej bantuan kepada kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam bidang kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan. Wartawan Nadiah Zamlus menyusun maklumat insentif untuk rakyat pada tiga jelajah berkenaan.

AMPANG JAYA, HULU LANGAT

Membuka tirai di daerah Hulu Langat dengan tema Kehidupan Bermartabat, jelajah itu menumpukan perumahan sebagai fokus.

Justeru, 70,000 unit Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI ditawar sepanjang jelajah kali ini. Program penyerahan dijalankan antaranya:

Rumah Selangorku Idaman

  • 2,103 unit Rumah Selangorku Idaman diterima Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) daripada rakan strategik MBI
  • untuk program Skim Sewa Milik Selangorku
  • unit di Shah Alam, Kuala Selangor, Kajang, Hulu Selangor, Selayang dan Sepang
  • 26 projek perumahan

Iltizam Selangor Sihat

  • dapat manfaat perlindungan kematian berjumlah RM6,000
  • daripada jumlah itu, RM5,000 bagi khairat kematian dan bakinya, RM1,000 bagi kos pengebumian

Serahan surat tawaran Rumah Selangorku

  • melibatkan rumah jenis B, Pangsapuri Selangorku Kayangan di Setia Ecohill Semenyih, Kajang
  • harga rumah daripada RM100,000
  • lengkap dewan serbaguna, taman permainan, gimnasium, surau, taska serta kawalan keselamatan 24 jam

Insentif Jabatan Pertanian

  • terima modal tambahan babitkan peruntukan lebih RM400,000
  • melibatkan bantuan input seperti biji benih, baja dan mesin
  • bantu tingkat hasil dan kualiti

Serahan aset kepada pejabat daerah tanah

  • aset komunikasi teknologi maklumat untuk kawalan operasi bencana
  • diterima pejabat daerah tanah di Hulu Langat dan Sepang

Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

  • 14 usahawan di Hulu Langat terima geran bantuan peralatan perniagaan
  • RM249,128 diperuntuk
  • bantuan peralatan maksimum RM30,000 seorang
  • tingkat jualan, produktiviti dan ringan beban pengusaha

Skim Hijrah Selangor

  • 20 penerima terima pembiayaan
  • 11 usahawan dari cawangan Hijrah Ampang dan 9 lagi Hulu Langat
  • pembiayaan sebanyak RM6.56 juta
  • penerima terdiri usahawan baiki komputer, pembekal ayam, kedai roti, kelas muzik, kosmetik dan pakaian terpakai
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyerahkan cek cura penjanjian bagi pembelian skim smart sewa ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Skim Smart Sewa

  • serah perjanjian pembelian 50 unit Skim Smart Sewa kepada Kerajaan Negeri
  • dibina oleh Setia Ecohill Sdn Bhd

MORIB, KUALA LANGAT

Berlangsung di Dataran Pantai Morib, program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dilancarkan Amirudin menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan dilaksana bermula Julai.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga. ISP juga menambah baik inisiatif termasuk memperluas saringan kepada lelaki mengesan barah kolon.

Bertemakan Memperkasa Ekonomi Manusiawi, bantuan diserahkan dan dilancar ialah:

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas)

  • inisiatif diperkukuh daripada KISS
  • bantu 30,000 keluarga di Selangor
  • peruntukan RM108 juta
  • terima manfaat RM3,600 dalam setahun mulai Julai

Inisiatif Halal Suri Darul Ehsan

  • bantuan jualan makanan sejuk beku
  • peserta dapat peti sejuk beku bersaiz 5.5 liter
  • makanan yang dijual perlu dapat sijil halal JAKIM

Skim Hijrah Selangor

  • salur pembiayaan RM3.42 juta kepada usahawan di Kuala Langat
  • skim i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim
  • seramai 20 usahawan terima bantuan Hijrah di Kuala Langat

Dana Usahawan MIKRO Selangor (DUMS)

  • peruntukan belian alatan perniagaan sehingga RM30,000 setiap seorang
  • babit peruntukan RM155,200

Platform Selangor (PLATS)

  • 139 peniaga di Kuala Langat daftar PLATS
  • bantu peniaga jana pendapatan menerusi jualan atas talian

STADIUM KUALA SELANGOR, KUALA SELANGOR

Bertemakan Kesihatan Berkualiti Rakyat Terbela, inisiatif kesihatan Selangor dilancarkan dalam jelajah ini.

Ia meliputi Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung dan Peduli Sihat Penjawat Awam. Antara program dijalankan:

Pelancaran serta penyerahan Iltizam Selangor Sihat

  • diperkenal 2 Julai
  • manfaat 100,000 penduduk
  • rawatan asas sehingga RM500, perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000
  • turut tawarkan vaksinasi

Penyerahan Bantuan Sihat Selangor

  • diperkenal sejak 2019
  • tampung kos rawatan kesihatan golongan kurang mampu
  • antaranya pembedahan katarak mata, dialisis, pembedahan kecil dan rawatan rumah pesakit terlantar

Penyerahan Skim Rawatan Jantung

  • lima penerima
  • pembiayaan sehingga RM50,000
  • terbuka kepada individu yang pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000 sebulan
  • sejak 2018 hingga 6 Julai seramai 257 pesakit dapat manfaat membabitkan kos RM4.03 juta

Penyerahan Peduli Sihat Penjawat Awam

  • sebagai simbolik, lima penjawat awam terima skim berkenaan di Kuala Selangor
  • khusus untuk kakitangan kerajaan di Selangor Gred 44 dan ke bawah
  • had rawatan kesihatan dan perubatan sehingga RM10,000 setahun
  • faedah kematian akibat kemalangan atau semulajadi (RM10,000) dan kecacatan kekal (RM10,000)
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bantuan Anak Selangor Anak Sihat (ASAS)

  • kit nutrisi RM400 sebulan
  • mengandungi susu tepung penuh krim, biskut, bijirin dan multivitamin
  • disalurkan selama lima bulan berturut-turut kepada kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun
  • bantu penyerapan kalsium serta menguatkan tulang
  • di Selangor 720 kanak-kanak layak terima
  • RM1 juta diperuntuk

Bantuan Sekolah Tahun 2022

  • lima sekolah di Kuala Selangor terima bantuan
  • tambah baik prasarana sekolah kerajaan dan swasta
  • permohonan diperluas kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan
  • sebelum ini hanya untuk sekolah agama rakyat atau sekolah rendah agama integrasi (berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor), sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh dan sekolah menengah jenis kebangsaan

Insentif Projek Pembangunan Tanaman, Teknologi Fertigasi dan Hiliran Pertanian (IAT)

  • insentif RM1.3 juta
  • 1,613 warga tani di Kuala Selangor
  • petani projek tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, padi, fertigasi, kelapa dan makanan proses

Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

  • 11 usahawan di Kuala Selangor terima dana
  • bantuan peralatan sehingga RM30,000
  • buka peluang kepada usahawan mikro pelbagaikan produk
  • peruntukan RM203,200

Skim Hijrah Selangor

  • 28 usahawan terima bantuan
  • 12 usahawan Tanjung Karang dan 16 cawangan Kuala Selangor
  • dana RM349,000

The post Tradisi bela rakyat, skim bantuan ditambah appeared first on Selangorkini.