Skim Smart Sewa tawar 4,000 unit rumah, penuhi impian miliki kediaman

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 4,000 unit kediaman akan disediakan di bawah Skim Smart Sewa menjelang 2026, bagi membantu individu berpendapatan rendah dan sederhana negeri ini memiliki rumah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini sebanyak 1,000 unit rumah telah disediakan kepada golongan terbabit sejak skim itu diperkenal pada 2015.

“Individu yang layak akan menyewa di situ selama lima tahun dan selepas itu kita pulangkan 30 peratus daripada sewaan sebagai deposit awal (untuk membeli rumah).

“Jadi setakat ini kita akan cuba pastikan rumah itu dibeli oleh Kerajaan Negeri dan disewa serta dijual kepada mereka yang layak sahaja, Ini hasrat kita selain bina rumah mampu milik,” katanya dalam sesi Town Hall Rakyat di Seksyen 15, di sini, malam tadi.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.

Dengan tempoh sewaan maksimum lima tahun, penyewa akan diberi pemulangan sewaan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan.

Memahami keperluan pasangan baharu berkahwin, Amirudin berkata lebih banyak kediaman satu dan dua bilik akan dibangunkan dalam tempoh dua tahun akan datang bawah Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0.

“Bukan kita mahu kembalikan kehidupan sempit tetapi kita menyedari realiti untuk orang yang ada satu anak dan baru berkahwin. Mereka ini tidak perlukan bilik yang banyak. Kita cuba bantu rakyat capai impian miliki rumah.

“Cuma bagaimana kawalannya? Di situ saya sedang lihat tetapi dasarnya telah diluluskan. Jadi ia beri peluang kepada pasangan muda miliki rumah walaupun tidak mampu bayar dengan kos tinggi,” katanya.

Kerajaan Selangor menyasar pembinaan 60,000 unit kediaman menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 menjelang 2025.

The post Skim Smart Sewa tawar 4,000 unit rumah, penuhi impian miliki kediaman appeared first on Selangorkini.