Rakyat selesa tiga penggal bawah HARAPAN Selangor, dapat banyak manfaat

SHAH ALAM, 12 NOV: Lebih sedekad Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir Selangor, kebanyakan penduduk selesa dengan pentadbiran gabungan itu yang prihatin masalah rakyat.

Peniaga Hashim Ahmad, 65, yang lebih 40 tahun menetap di Shah Alam mengakui kerajaan pimpinan HARAPAN banyak membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, pelbagai manfaat diterima rakyat sepanjang tempoh itu antaranya baucar Jom Shopping, bantuan alatan perniagaan dan barang keperluan asas.

Hashim Ahmad

“Sebelum ini, Barisan Nasional mentadbir Selangor, mereka seolah tidak peduli dengan nasib peniaga apatah lagi untuk beri bantuan,” katanya ditemui di Pasar Malam Seksyen 17 di sini semalam.

Rokiah Mohd Noor, 68, turut mengakui banyak bantuan diperoleh sejak Selangor ditadbir HARAPAN antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Skim Peduli Sihat.

Ibu tunggal itu memuji proses pendaftaran bantuan yang mudah dan pantas termasuk manfaat Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang diterima cucunya.

“Adik-beradik pun cemburu dengan bantuan ditawarkan Selangor, negeri mereka tiada inisiatif seperti ini. Harap negeri lain boleh jadikan Selangor sebagai contoh membantu rakyat,” katanya.

Warga emas Wan Salmiah Mior Yahaya, 62, pula menyifatkan manifesto HARAPAN amat bagus dan prihatin kepada rakyat terutama tawaran hidup selesa pada usia emas.

Wan Salmiah Mior Yahaya

“Namun, jika kerajaan baharu dapat buka pusat transit khusus kepada warga emas berkumpul bagus juga. Mungkin anak boleh hantar sementara dan ambil semula selepas pulang kerja,” katanya.

Seorang lagi warga emas Nora Abdul Karim, 75, turut berkongsi pengalaman ketika rumah dilanda bah, Kerajaan Negeri banyak membantu termasuk turun padang menziarahi mereka sekeluarga.

“Banyak bantuan kita dapat ketika banjir seperti barangan keperluan asas, tilam, bantu kemas rumah. Alhamdulillah, harap kerajaan persekutuan nanti dapat buat seperti Selangor,” katanya.

The post Rakyat selesa tiga penggal bawah HARAPAN Selangor, dapat banyak manfaat appeared first on Selangorkini.