Lebih 400 ahli Tawas Hulu Selangor terima beg sekolah, alat tulis

SHAH ALAM, 6 MAC: Seramai 405 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) Hulu Selangor yang lahir pada 2016 menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis.

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu berkata semua penerima mengambil bantuan persekolahan itu di Pusat Khidmat Masyarakatnya dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

“Seramai 405 ahlinya dari Hulu Selangor datang mengambil beg sekolah mereka. Mereka gembira menerima beg yang cantik.

“Muka mereka bertambah ceria lagi apabila saya menunjukkan ada beg kecil dan alat-alat dalam beg sekolah,” kata Lee Kee Hiong menerusi Facebook.

Januari lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 42,634 ahli Tawas yang lahir pada 2016 menerima bantuan awal sesi persekolahan tahun ini.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, bantuan itu merupakan tanda meraikan penerima yang layak mendapat manfaat sempena sesi persekolahan baharu menjelang Mac nanti.

Tawas yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dilancarkan secara rasmi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos 2008.

Program ini terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli Tawas menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

The post Lebih 400 ahli Tawas Hulu Selangor terima beg sekolah, alat tulis appeared first on Selangorkini.