Kemas kini, kumpul maklumat dalam sistem pintar Inisiatif Peduli Rakyat

SHAH ALAM, 16 MAC: Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) perlu dikemas kini dan dijadikan sistem pengumpulan semua inisiatif dan program Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki berkata kemas kini itu dapat membantu warga Selangor dengan lebih efektif, efisien dan sempurna.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat mengemas kini sistem SSIPR seterusnya menjadikannya sistem pengumpulan dan penyatuan semua informasi serta cara permohonan kepada semua inisiatif dan program Iltizam Selangor Penyayang.

“Saya percaya, dengan sistem SSIPR yang sentiasa dikemaskini, pusat khidmat masyarakat wakil rakyat dapat membantu warga Selangor dengan lebih efektif, efisien dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor semalam.

Siew Ki mencadangkan SSIPR turut merangkumi inisiatif dan program kerajaan persekutuan supaya wujud penyelarasan di antara Kerajaan Selangor dan pusat.

The post Kemas kini, kumpul maklumat dalam sistem pintar Inisiatif Peduli Rakyat appeared first on Selangorkini.