Hijrah salur RM775 juta bantu 58,000 usahawan luaskan perniagaan

SUBANG JAYA, 12 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyalurkan RM775 juta modal tambahan sejak 2010, yang membantu 58,000 usahawan kecil dan sederhana memulakan serta meluaskan perniagaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Normaiza Yahya berkata bantuan itu memenuhi visi Kerajaan Negeri untuk melonjakkan golongan berpendapatan rendah ke kelas menengah melalui perniagaan.

“Had pembiayaan dari RM1,000 hingga RM100,000 dan ia adalah sekali jumlah pembiayaan. Skim Hijrah membantu usahawan di Selangor yang ingin memulakan perniagaan dan menambah pendapatan,” katanya.

Ditemui pada Program Kelestarian Usahawan Digital Yayasan Telekom Malaysia di sini hari ini, beliau memaklumkan seramai 6,700 peserta Hijrah turut ditawarkan pinjaman ulangan.

Normaiza menjelaskan tawaran berkenaan dikhaskan buat peserta yang berjaya melunaskan pinjaman pertama mengikut jadual dan prestasi perniagaan yang semakin berkembang.

“Pinjaman ulangan ini tidak terhad buat usahawan yang berjaya dalam perniagaan, boleh pinjam lagi untuk mengembangkan operasi seperti menambah cawangan, pekerja dan pemasaran produk.

“Mengikut rekod ada peserta meminjam 10 kali. Tahun ini, kebanyakan peserta membuat pinjaman ulangan mengambil Skim i-Bisnes dan Skim Digital,” katanya.

Dalam pada itu, Normaiza berkata Hijrah menyasarkan untuk menyalur pinjaman RM70 juta kepada 3,000 usahawan tahun hadapan termasuk memberi bimbingan bagi meluaskan potensi perniagaan.

The post Hijrah salur RM775 juta bantu 58,000 usahawan luaskan perniagaan appeared first on Selangorkini.