Selangor naik taraf WiFi, guna teknologi fiber

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Selangor menaik taraf perkhidmatan WiFi Smart Selangor dengan menggunakan teknologi fiber sejak Julai lalu.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata penjajaran semula itu membolehkan penduduk menggunakan internet dengan kelajuan 100Mbps.

“Jika dulu kita guna Streamyx, tetapi setelah penjajaran semula, kita ubah kepada teknologi fiber. Tahun ini kita sasarkan untuk mewujudkan 1,100 pusat akses dan akan ditingkatkan kepada 1,500 pada tahun hadapan.

“Setiap satu daripada pusat akses ini boleh dicapai 30 pengguna dalam satu-satu masa. Lebih banyak pusat akses diwujudkan, maka lebih ramai rakyat boleh menggunakan internet percuma,” kata Ir Izham Hashim ketika ucapan penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat lima kluster lokasi yang akan diberi perhatian bagi liputan WiFi Smart Selangor berkenaan.

“Kluster pertama ialah rumah kos rendah dan sederhana; kluster kedua iaitu pendidikan, kesihatan dan keagamaan; kluster ketiga melibatkan komuniti; kluster keempat ialah pengangkutan, sukan dan rekreasi dan kluster kelima melibatkan agensi dan syarikat Kerajaan Negeri,” katanya.

The post Selangor naik taraf WiFi, guna teknologi fiber appeared first on Selangorkini.